ANAK ‘ISTIMEWA’ ANUGERAH ALLAH UNTUK IBU BAPA ISTIMEWA
Anak merupakan
hadiah dan amanah Allah SWT kepada setiap pasangan suami isteri dalam kehidupan
berumahtangga. Boleh dikatakan setiap suami isteri ingin memiliki cahayamata
hasil daripada perkahwinan mereka. Walau bagaimanapun tidak semua suami isteri
itu memperoleh hadiah Allah SWT ini.
Bagi suami isteri
yang dihadiahkan anak oleh Allah SWT, mereka hendaklah menerima hadiah Allah
SWT tersebut dengan penuh rasa bertanggungjawab dan beramanah. Hal ini tidak
kira sama ada anak yang diperoleh itu adalah anak yang sempurna ataupun anak
yang digolongkan dalam kategori Orang Kelainan Upaya (OKU).
Kehidupan suami
isteri yang dianugerahkan anak yang sempurna adalah berbeza dengan kehidupan
suami isteri yang dianugerahkan anak OKU. Ujian suami isteri yang dikurniakan
anak sempurna lebih ringan berbanding pasangan suami isteri yang dianugerahkan
anak OKU. Kehidupan mereka sudah tentu penuh dengan ujian dan dugaan hidup yang
pelbagai ragam.
Dalam hal ini.
mereka perlu sabar dan tabah menghadapi ujian Allah SWT dengan sentiasa mengadu
dan bergantung harap kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Tidak ada suatu rezeki pun yang Allah berikan kepada seseorang hamba yang
lebih luas baginya daripada sabar” (Riwayat al-Hakim).
Benar setiap
ujian dan dugaan yang hadir itu pasti terasa pahit dan perit untuk dihadapi.
Namun, setiap ibu bapa yang dikurniakan anak OKU, mereka tidak perlu
mempersoalkan “kenapa Allah SWT menguji kami dengan ujian ini?”. Selain itu,
mereka juga tidak wajar berburuk sangka terhadap Allah SWT dengan berkata, “Ya
Allah, kenapa Engkau menguji kami yang tidak banyak harta ini dengan ujian
seberat ini, sedangkan masih ramai lagi daripada hamba-Mu yang kaya raya dan
berharta. Kenapa Engkau memilih kami dan tidak memilih mereka?”
Sebenarnya setiap
persoalan yang timbul ini, jawapannya sudah tercatat di dalam al-Qur’an. Bagi
persoalan kenapa kami diuji? jawapannya telah jelaskan dalam firman Allah SWT
yang bermaksud, “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan
dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu
ujian)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu
daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui
Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa
yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta” (Surah al-‘Ankabut
ayat 2-3).
Bagi persoalan
kedua pula iaitu kenapa kami diuji dengan ujian seberat ini? jawapannya telah
dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Allah tidak membebani
seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya?” (Surah al-Baqarah
ayat 286).
Justeru, setiap
pasangan suami isteri yang diuji dengan anak OKU hendaklah memahami bahawa
tujuan Allah SWT menguji mereka adalah semata-mata untuk menilai sama ada
mereka benar-benar beriman atau berdusta. Jangan sesekali menyangka ia satu
kezaliman daripada Allah SWT kerana Allah SWT tidak pernah menzalimi para
hamba-Nya.
Di samping itu,
mereka perlu juga meyakini bahawa mereka mampu menghadapi ujian itu dengan
bantuan Allah SWT. Allah SWT telah berjanji akan membantu setiap hamba-Nya yang
berada dalam kesusahan asalkan mereka tidak putus hubungan dengan-Nya. Di sini
jelas membuktikan Allah SWT itu bersifat Adil terhadap hamba-Nya.
Bagi suami isteri
yang mempunyai anak OKU, mereka tidak perlu berdukacita dan merasa malu untuk
berdepan dengan masyarakat sekeliling. Malah mereka sepatutnya berbangga dengan
anugerah Allah SWT ini kerana anak-anak istimewa hanya dianugerahkan kepada ibu
bapa yang istimewa.
Segala sangkaan
buruk terhadap Allah SWT hendaklah dihindari sama sekali. Jika tidak, ia boleh
menyebabkan suami isteri yang mempunyai anak OKU itu sukar untuk menerima ujian
Allah SWT dengan berlapang dada. Apabila ujian Allah SWT sukar diterima, maka
berlakulah pelbagai perkara yang di luar batas kemanusiaan sehinggakan ada yang
sanggup mengabai dan mendera anak OKU yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada
mereka tanpa rasa belas kasihan.
Bukan setakat
itu, malah ada pasangan suami isteri yang bercerai kerana salah seorang
daripada mereka tidak dapat menerima kehadiran anak OKU. Mereka saling
memburukkan keturunan antara satu sama lain tanpa memikirkan hikmah di sebalik
ujian berat yang mereka hadapi itu.