MAJALAH DAKWAH: ETIKA PENGGUNAAN INTERNET BERTERASKAN ISLAM

Komunikasi merupakan salah satu dari aspek terpenting dalam kehidupan manusia. Melalui komunikasi, sesuatu mesej, berita atau maklumat dapat disebarkan atau disampaikan. Kini, komunikasi bukan sahaja berlaku secara lisan, malah ia boleh juga berlaku melalui penggunaan internet.

Kemunculan internet sebagai alat komunikasi arus perdana menjadikannya sebagai satu wasilah dalam penyebaran maklumat. Penggunaan teknologi internet menerusi world wide web (www) dan komponennya seperti blog, e-mel, facebook, twitter dan IRC memudahkan seseorang pengguna untuk berkomunikasi dan bertukar-tukar maklumat dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia. Ia dapat dilakukan dengan cepat dan pantas serta menjimatkan masa dan wang.

Penciptaan alat komunikasi melalui internet ini mempunyai banyak faedah jika ia digunakan dengan baik dan betul. Para pengguna sendiri perlu beretika, berdisiplin, mematuhi peraturan dan bertanggungjawab agar kemajuan itu tidak disalahgunakan, terutamanya untuk menyebarkan perkara-perkara yang tidak benar.

Jelas di sini bahawa jika internet itu digunakan dengan sebaik mungkin, ia dapat memberi banyak kelebihan kepada sosioekonomi manusia. Dengan internet, dunia hari ini menjadi sebagai ‘sebuah perkampungan kecil’, tetapi padat dengan berita dan maklumat yang boleh dicapai dengan mudah dan pantas.

Walau bagaimanapun, oleh sebab tiada siapa yang dapat mengawal penyebaran maklumat di dunia siber ini secara total, berjuta-juta laman web telah dibina dan diaktifkan. Bermacam-macam maklumat (sama ada benar atau salah), idea, ideologi, propaganda, fitnah, dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui internet.

Selain itu, ada segelintir pengguna internet yang menyalahgunakan teknologi ini untuk melakukan kegiatan tidak sihat seperti menyebarkan e-mel layang, mewujudkan laman web tidak bermoral atau blog diskusi yang menganjurkan forum yang boleh mewujudkan sentimen perkauman dalam masyarakat.

Hal ini ditambah pula dengan kegiatan yang dilakukan oleh penggodam laman web, masalah pengintipan (eavesdropping) serta mencuri maklumat peribadi individu lain untuk penipuan.

Keadaan ini sedikit sebanyak menyebabkan masyarakat berada dalam dilema, sama ada mahu mempercayai atau terus menafikan sesetengah berita atau maklumat yang disebarkan melalui internet. Jika secara lisan berita atau maklumat boleh dimanipulasi dan dikelirukan, begitu juga melalui internet. Malah melalui internet, latar belakang diri orang yang berkomunikasi itu boleh dirahsiakan dengan menggunakan nama-nama samaran dan maklumat diri yang palsu. Kadangkala hal ini menyukarkan pihak-pihak tertentu untuk mengesan ‘orang’ yang mendalanginya.

Berhubung masalah yang berlaku inilah menjadi tanggungjawab
semua pengguna internet untuk memelihara negara dan rakyat daripada sebarang unsur negatif yang boleh merosakkan. Gunalah akal dan kepintaran kurniaan Allah SWT untuk memastikan berita atau maklumat yang dihantar serta komunikasi yang berlaku melalui internet itu dalam bentuk beretika dan selari dengan ajaran Islam.

Sebenarnya media komunikasi dalam sesebuah negara itu mempunyai peranan yang penting dalam menyebarkan dan sekali gus menyerapkan pelbagai pengaruh dalam jiwa masyarakat sama ada yang bersifat positif mahupun negatif. Dalam hal ini, setiap pengguna perlu memastikan internet dapat dimanfaatkan untuk menyebarkan berita dan maklumat yang positif serta dapat membina pemikiran masyarakat, menambah ilmu serta memupuk sifat yang baik.

Hal ini bermaksud media komunikasi seperti internet bertindak sebagai alat yang dapat membantu kita dalam usaha membina masyarakat yang berakhlak, berfikiran murni, mempunyai hala tuju yang jelas serta membentuk suasana negara yang aman dan sejahtera menurut perspektif Islam.

Bagi memastikan hasrat ini tercapai, lima prinsip Maqasid al-Syar‘iah iaitu memelihara agama (al-Din); memelihara jiwa atau nyawa (al-Nafs); memelihara akal (al-‘Aql); memelihara keturunan (al-Nasl); dan memelihara harta (al-Mal) dijadikan sebagai falsafah atau tapak kepada pembentukan etika penggunaan internet berteraskan Islam. Dalam Islam, persoalan etika mesti dipertanggungjawabkan secara bersama. Justeru, penggunaan internet perlu dalam lingkungan etika agar kesan buruknya terkawal. [Untuk perbincangan lanjut, lihat Majalah Dakwah, Isu 20 Julai-Ogos 2013, hlm. 72-75].