EPISTEMOLOGI ISLAM MEMBENTUK TASAWUR SESEORANG INSAN


Tasawur Islam itu lahir dan terbentuk atas asas tertentu. Ia dihubungkan dengan teori atau asal usul ilmu Islam yang disebut epistemologi Islam. Sebenarnya, epistemologi ini berasal daripada dua perkataan Yunani iaitu episteme dan logos. Episteme bermaksud knowledge atau ilmu pengetahuan. Manakala logos pula bermaksud teori atau kajian.

Sebenarnya epistemologi membincangkan secara mendalam tentang proses-proses yang membawa kepada penambahan ilmu pengetahuan. Perkara ini disebut juga sebagai nazariyyah al-ma‘rifah (teori ilmu).

Meskipun begitu, penggunaan istilah nazariyyah al-ma‘rifah ini sebenarnya masih belum begitu luas atau diterima secara universal lagi dalam dunia Islam. Selain digunakan oleh Mutahhari menerusi karyanya The Theory of Knowledge an Islamic Perspective (karya asal Mas’aleh-ye Sbinakbt), ia juga digunakan oleh beberapa penulis lain seperti Jawad Amuli menerusi karyanya Nazariyyah al-Ma‘rifah; Ja‘far Subhani menerusi karyanya Nazariyyah al-Ma‘rifah dan Muhammad Baqir Shadr menerusi karyanya Falsafatuna.

Dalam membincangkan tentang epistemologi Islam ini, lazimnya perbincangan difokuskan kepada aspek sumbernya. Terdapat dua sumber utama epistemologi Islam iaitu naqli (wahyu) dan ‘aqli (ijtihad). Sumber naqli ialah al-Qur’an atau al-wahy al-matlu (wahyu yang dibacakan) dan al-Sunnah atau al-wahy ghayr al-matlu (wahyu yang tidak dibacakan). Kedua-duanya dikenali juga sebagai al-adillah al-qat‘iyyah (bukti yang tidak boleh dipertikaikan kebenarannya).

Manakala sumber ‘aqli pula, terutamanya yang telah disepakati ialah ijmak dan qiyas. Kedua-duanya dikenali juga sebagai al-adillah al-ijtihadiyyah (pandangan yang didapati melalui kesungguhan berfikir).

Selain itu, perbincangan tentang epistemologi Islam ini difokuskan kepada aspek yang menunjanginya. Terdapat empat perkara yang menunjangi epistemologi Islam itu. Tunjang yang paling utama ialah akidah, manakala tunjang-tunjangnya yang lain ialah ibadah, akhlak dan syari‘ah (perundangan).

Kesimpulannya, epistemologi adalah teras utama bagi sebarang pandangan hidup. Daripada epistemologi Islam inilah tasawur Islam itu terbentuk. Dengan itu ia menjadi lebih sepadu dan bersifat fitrah.

Di samping itu juga, dengan memiliki asas epistemologi yang kukuh ini telah menyebabkan tasawur Islam itu jauh berbeza daripada tasawur dalam perspektif lazim. Tasawur dalam perspektif lazim itu berdasarkan pada materialisme dan idealisme yang didukung oleh empirisme, rasionalisme, realisme, nominalisme, dan pragmatisme.

Popular posts from this blog

GOLONGAN ANTI HADITH SELEWENGKAN TAFSIRAN AL-QUR'AN

ANAK ‘ISTIMEWA’ ANUGERAH ALLAH UNTUK IBU BAPA ISTIMEWA