[1] ISDEV DAN KAEDAH PENDIDIKAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM: SATU PENGENALAN

ISDEV
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (Centre for Islamic Development Management Studies, ISDEV) terletak di bawah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Ia mula ditubuhkan pada tahun 1995 dengan nama International Project on Islamic Political Economy (IPIPE). Idea penubuhannya dicetuskan oleh Profesor Muhammad Syukri Salleh yang berjuang memperkenalkan ilmu Pembangunan Berteraskan Islam (PBI) di tengah-tengah perkembangan ilmu pembangunan lazim seperti kapitalisme, sosialisme dan Marxisme. Kemudiannya pada tahun 1997 IPIPE ditukar nama menjadi Projek Pengurusan Pembangunan Islam (Islamic Development Management Project, IDMP). Oleh kerana IDMP (ketika itu) aktif menganjurkan program-program akademik, seperti penawaran dan pengajaran kursus-kursus berkaitan bidang Pengurusan Pembangunan Islam; menganjurkan persidangan, seminar dan bengkel sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa; menganjurkan wacana-wacana ilmiah; menerbitkan beberapa penulisan berkaitan PBI yang sepadu dan holistik, khususnya melalui anggota IDMP sendiri; dan banyak terlibat dengan projek-projek penyelidikan sama ada geran yang dibiayai oleh universiti, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri (Muhammad Syukri Salleh, 2002:9-11), maka pada September 2005, ia dinaik taraf menjadi ISDEV (ISDEV, 2008:2)

Meskipun ISDEV muncul di tengah-tengah bidang sains sosial lazim yang menjadi ibu kepada ilmu pembangunan lazim, sistem pendidikannya tetap tidak boleh mengikuti falsafah dan kaedah-kaedah ilmu sains sosial lazim itu. Sains sosial lazim dicorakkan oleh tasawur lazim, manakala PBI dicorakkan oleh tasawur Islam. Tasawur lazim itu bersumberkan epistemologi Barat iaitu pemikiran pengasas-pengasas teori pembangunan lazim seperti Rostow dan Karl Marx, manakala tasawur Islam pula bersumberkan epistemologi Islam iaitu al-Qur’an, Hadith, ijmak dan qiyas ulama (Muhammad Syukri Salleh, 2007:41 dan Fadzila Azni Ahmad, 2010:207).

Menyedari hakikat ini, ISDEV berusaha memperkenalkan kaedah pendidikan PBI. Ia bersumberkan epistemologi Islam, iaitu al-Qur’an, Hadith, ijmak, qiyas dan pendekatan ulama Islam pada zaman silam, seperti Imam Malik, Imam al-Syafi‘i, Imam al-Ghazali dan sebagainya. Berasaskan kepada sumber-sumber ini, maka terbinalah tasawur yang mencorakkan kaedah pendidikan PBI iaitu meyakini bahawa Allah SWT sebagai Pencipta, manusia sebagai makhluk dan sumber alam juga sebagai makhluk. Dengan itu, lahirlah kaedah pendidikan PBI yang sepadu, holistik dan bersifat ‘merentas sempadan’. Penggunaannya tidak terhad di bilik-bilik kuliah sahaja, malah diguna pakai dalam semua aktiviti ISDEV yang melibatkan hubungan guru-pelajar-guru. Kaedah pendidikan yang diamalkan di ISDEV inilah yang akan dibincangkan dalam blog ini secara bersiri selepas ini. 

Bagi mencapai tujuan ini, perbincangan dalam blog ini akan dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, membincangkan tentang struktur organisasi ISDEV; dan kedua, membincangkan tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) PBI di ISDEV. Perbincangan tentang kaedah P&P ini pula akan dibahagikan kepada empat bahagian. Pertama, menyepadukan akal dengan hati dan ilmu dengan amal. Kedua, tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa). Ketiga, menyepadukan ilmu fardhu ain dengan ilmu fardhu kifayah dan ilmu daruri dengan ilmu nazari; dan keempat, kaedah 'merentas sempadan'.

*** Sedutan daripada kertas kerja yang dibentangkan di Konferensi Antarabangsa Islam Borneo Ke-V, anjuran bersama Pusat Penyelidikan & Pengembangan Islam Borneo, Universiti Teknologi MARA Sarawak dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Brunei Darussalam, pada 26 hingga 27 Jun 2012, di Dewan Persidangan Bridex Jerudong, Brunei Darussalam.


Rujukan:

Fadzila Azni Ahmad (2010). Kaedah Pengurusan Institusi-Institusi Pembangunan Berteraskan Islam di MalaysiaPemenang Anugerah Tesis Doktor Falsafah Terbaik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin 2009. Shah Alam, Selangor: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi MARA.
ISDEV, Center for Islamic Development Management (2008). Cadangan Penawaran Major Pengurusan Pembangunan Islam. Tidak diterbitkan.
Muhammad Syukri Salleh (2002). Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Muhammad Syukri Salleh (2007). “Prinsip-Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam”, dlm. Muhammad Hisyam Mohamad (Ed.), Pembangunan Dari Perspektif Islam. Selangor: MPH Group Publishing Sdn. Bhd. dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Popular posts from this blog

GOLONGAN ANTI HADITH SELEWENGKAN TAFSIRAN AL-QUR'AN

ANAK ‘ISTIMEWA’ ANUGERAH ALLAH UNTUK IBU BAPA ISTIMEWA

MAJALAH DAKWAH: ETIKA PENGGUNAAN INTERNET BERTERASKAN ISLAM