GOLONGAN ANTI HADITH SELEWENGKAN TAFSIRAN AL-QUR'AN


Anti Hadith merupakan antara ajaran sesat yang menular dalam masyarakat Islam sejak beberapa tahun yang lalu. Pengaruh anti Hadith ini semakin luas apabila wujudnya pihak-pihak tertentu yang mendukung kepercayaan dan kefahaman mereka di samping wujudnya buku-buku, artikel-artikel dan seminar yang berkaitan.

Fahaman sebegini juga pernah muncul di beberapa buah negara lain seperti Indonesia, Singapura, India, Pakistan, Iran, dan negara Arab. Sebenarnya, ulama Islam seperti Ibn Hazm pada abad 4-5 H dan beberapa ulama pada zaman moden seperti Muhammad al-Ghazali dan Yusuf al-Qardawi pernah membincangkan tentang fahaman ini.

Fahaman anti Hadis ini sebenarnya mempunyai pegangan yang tidak mempercayai Hadis sebagai sumber epistemologi Islam selepas al-Qur’an. Penghujahan golongan yang berfahaman ini bahawa al-Qur’an sebagai kitab yang lengkap dan sempurna telah menolak sumber-sumber lain sebagai sumber perundangan Islam.

Untuk menguatkan hujah mereka, beberapa ayat al-Qur’an cuba diselewengkan tafsirannya. Kebanyakan penyelewengan mereka melibatkan soal akidah, siasah, dan fiqh.

Dalam soal akidah, golongan ini meletakkan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. sekadar pengikut Nabi Ibrahim a.s. Menurut mereka Nabi Ibrahim adalah pesuruh Allah S.W.T. bukannya Nabi Muhammad s.a.w. Sehubungan itu, mereka mendakwa solat, puasa, zakat, dan amalan-amalan ibadah lain harus mengikut Nabi Ibrahim a.s.

Antara ayat yang diselewengkan oleh mereka ialah firman Allah yang bermaksud, “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim” (Surah al-Haj ayat 78).

Mereka mentafsirkan ayat ini sebagai satu arahan Allah S.W.T. agar mengikut agama Nabi Ibrahim a.s. Padahal yang sebenarnya ayat ini menjelaskan bahawa Allah S.W.T. tidak menyusahkan dan menyempitkan manusia dalam persoalan agama. Allah S.W.T. menyebut agama bapa kamu Nabi Ibrahim a.s. sebagai menunjukkan contoh kesukaran yang pernah berlaku dalam agama itu.

Ayat 78 daripada Surah al-Hajj ini sepatutnya diterjemahkan begini, “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya, Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya), dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama seperti agama bapa kamu Ibrahim.”

Golongan anti Hadis juga menyelewengkan ayat-ayat al-Quran berkaitan politik, terutamanya yang berkaitan dengan kepimpinan ulama. Mereka mendakwa ulama dahulu dan kini semuanya palsu, menyelewengkan ajaran Allah S.W.T, bertopengkan amalan Rasul serta telah mereka-reka hukum. Mereka mendakwa ulama mencipta hukum halal-haram, sesat, undang-undang kekeluargaan Islam, dan sebagainya walhal semua itu tiada dalam al-Qur’an. Bagi mereka ulama sekutu Allah S.W.T.

Sikap buruk sangka dan kebencian golongan ini terhadap para ulama amat menebal. Hal ini menyebabkan mereka sanggup memfitnah para sahabat dengan cerita daripada sumber yang tidak berasas.

Mereka berhujah dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud, “Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tiada ketetapan yang menentukan (daripada Allah) tentulah mereka telah dibinasakan dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih” (Surah al-Syura ayat 21).

Sembahan yang dimaksudkan oleh mereka ialah ulama dan para sahabat kerana memandai-mandai dalam membuat hukum. Sebenarnya ayat itu telah diselewengkan terjemahan dan tafsirannya. Ayat 21 daripada Surah al-Syura ini sepatutnya diterjemahkan, “Bahkan mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (daripada Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

“Mereka mempunyai sekutu-sekutu” dalam ayat itu ialah orang kafir Mekah. Sekutu di sini bukan sekutu Allah S.W.T. tetapi sekutu golongan kafir. Merekalah yang sering mengandaikan persoalan agama untuk mengelirukan orang ramai. Dalam ayat ini juga Allah S.W.T. menyatakan yang Dia akan mengenakan azab seksa serta merta mungkin untuk memberi peluang kepada mereka supaya bertaubat.

Seterusnya mereka selewengkan ayat tentang masalah aurat wanita. Mereka menafikan aurat wanita termasuk rambut ataupun kepala. Malah mendakwa Islam sebenarnya tidak mewajibkan wanita bertudung kepada. Golongan ini percaya bahawa perintah pertama yang berkaitan etika pakaian wanita dalam al-Qur’an ada disebut dalam ayat 26 Surah al-A‘raf. Mereka menyelewengkan maksud ayat tersebut dengan tafsiran “Allah telah menyatakan bahawa Dia telah menurunkan pakaian untuk menutupi bahagian-bahagian aib”.

Bagi mereka aib itu tidak termasuk bahagian kepala wanita. Mereka membuat terjemahan sendiri tanpa bersandar kepada Hadis dan ijmak ulama. Padahal maksud sebenar ayat tersebut ialah “Sesungguhnya Kami telah menurunkan kamu pakaian untuk menutupi auratmu dan perhiasan”.

Berdasarkan ayat 26 Surah al-A‘raf di atas, pakaian dalam Islam adalah untuk menutup aurat dan perhiasan yang dipakai oleh wanita itu. Jadi, menurut pendapat majoriti ulama aurat dalam konteks ini meliputi keseluruhan tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan.

Dalam ayat yang lain Allah S.W.T. berfirman “‘walyadribna bi khumurihinna’.” Dalam ayat ini Allah meminta para wanita melabuhkan tudung mereka ke paras dada. Penutupan di sini kerana bahagian dada terdapat perhiasan.

Golongan anti Hadis ini terus menyelewengkan maksud ayat-ayat yang berkaitan hijab. Menurut mereka, perintah berhijab dalam ayat-ayat al-Qur’an tidak mewakili hukum atau peraturan pakaian wanita Muslimah. Mereka mendakwa bahawa amalan menutup kepala ini sebenarnya telah lama berkuat kuasa beribu-ribu tahun sebagai tradisi. Ulama Islam mendakwa hijab sebagai pakaian Muslimah hakikatnya tradisi sebelum Islam lagi.

Jelas di sini Golongan Anti Hadis ini cuba mentafsirkan ayat al-Qur’an mengikut seleranya sendiri berdasarkan terjemahan yang lemah. Mereka sebenarnya tidak mempunyai kepakaran dalam bahasa al-Qur’an, tidak memahami uslub ayat dan balaghahnya. Jadi, memahami al-Qur’an berdasarkan terjemahan yang sedia ada mengakibatkan fahaman mereka tersasar daripada maksud sebenar.

Tegasnya, fahaman golongan anti Hadis tergolong dalam pembawa ajaran sesat. Mereka sengaja memutarbelitkan maksud ayat-ayat al-Qur’an untuk kepentingan mereka sekali gus mengelirukan orang yang jahil. Sayidina Umar al-Khattab r.a. pernah berkata, “Sesungguhnya aku ingatkan kamu terhadap dua jenis manusia. Pertama, manusia yang mentakwilkan al-Qur’an tanpa takwilan yang sebenarnya. Kedua, manusia yang menginginkan milik (kepunyaan) saudaranya”.

Menyedari penyelewengan golongan ini, umat Islam seharusnya berhati-hati agar tidak terperangkap dengan jerat mereka. Pada masa yang sama, umat Islam seharusnya mengetahui metodologi disiplin Islam seperti Hadis, tafsir, fiqh, usul fiqh, dan usul tafsir. Tetapi yang paling utama dalam konteks ini adalah menguasai bahasa Arab. Inilah asas yang perlu ada pada seseorang untuk membolehkannya mentafsirkan ayat-ayat al-Qur’an.

Popular posts from this blog

ANAK ‘ISTIMEWA’ ANUGERAH ALLAH UNTUK IBU BAPA ISTIMEWA