ALLAH MENGUJI PARA HAMBA DENGAN MUSIBAH
Pada ketika ini,
penduduk di beberapa buah daerah di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung
Malaysia seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu diuji oleh Allah SWT dengan
musibah banjir besar sejak beberapa hari yang lalu. Ada dalam kalangan mereka
yang terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat penempatan banjir demi keselamatan. Di
pusat penempatan banjir itu, sudah tentu mereka merasai kurang selesa jika
hendak dibandingkan dengan keselesaan ketika berada di kediaman masing-masing
sebelum ini.
Sebenarnya inilah yang dikatakan musibah yang ditentukan oleh
Allah SWT semata-mata untuk menguji para hamba-Nya.
Dimaksudkan dengan
perkataan musibah ialah bencana, kecelakaan atau mala petaka. Dalam erti kata
lain sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan penderitaan kepada seseorang.
Meskipun begitu,
Allah SWT menjadikan musibah ini sebagai ujian ke atas para hamba-Nya. Firman
Allah SWT yang bermaksud, “Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu
dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.
Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah
al-Baqarah ayat 155)
Kemudian Allah SWT
jelaskan lagi tentang orang-orang yang sabar itu di dalam firman-Nya yang
bermaksud, “(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata
sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jualah (tempat)
kami kembali.” (Surah al-Baqarah ayat 156)
Dalam ayat di atas,
Allah SWT menyatakan bahawa setiap hamba-Nya
akan diuji. Ujian Allah SWT itu berlaku
dalam pelbagai bentuk, seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan,
kesihatan dan kesakitan. Ini adalah untuk membuktikan siapakah yang penyabar
serta tetap bertuhankan Allah SWT dalam apa jua keadaan yang ditempuhinya.
Jadi jelaslah
bahawa orang-orang yang sabar itu adalah yang tetap beriktikad bahawa diri mereka
hamba dan milik Allah SWT walaupun ditimpa musibah yang amat berat. Malah
mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah SWT dan sentiasa
takuti azab-Nya.
Ibn Kathir
mentafsirkan ayat tersebut (ayat 156 daripada Surah al-Baqarah) dalam tafsirnya
Tafsir al-Qur’an al-‘Azim dengan
menyatakan “Seseorang yang melafazkan ayat ini ketika ditimpa musibah
menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui
bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah SWT. Allah SWT berkuasa melakukan
apa saja terhadap para hamba-Nya.”
Untuk
memperkukuhkan lagi tafsirannya, Ibn Kathir membawakan beberapa hadis,
antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud, “Umm Salamah berkata: Aku telah mendengar
Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada seorang pun daripada kalangan orang-orang
Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan apa yang diperintahkan oleh
Allah (iaitu firman Allah SWT ayat 156 surah al-Baqarah yang bermaksud)
“Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan
dikembalikan. Ya! Allah berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan
gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan
baginya dengan yang lebih baik”. Umm Salamah berkata: Ketika Abu Salamah
meninggal dunia, aku sering bertanya kepada diriku sendiri, orang Islam manakah
yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dialah orang yang pertama hijrah kepada
Rasulullah s.a.w. Pertanyaan itu sering aku mengulanginya, lalu Allah telah
menggantikan untukku Rasulullah s.a.w sendiri. Umm Salamah berkata: Baginda
s.a.w mengutuskan Hatib bin Balta‘ah untuk melamarku bagi dirinya sendiri. Lalu
Umm Salamah berkata lagi: Aku telah mempunyai seorang anak perempuan dan aku
seorang wanita yang kuat cemburu. Jawab Baginda: Tentang anak perempuannya kita
doakan semoga Allah SWT cukupkan segala keperluannya dan aku mendoakan semoga
Allah SWT hilangkan rasa cemburunya itu.” (al-Nawawiy, 1996. Syarh Sahih
Muslim. hadis no. 918 jld. 6 hlm. 520)
Berdasarkan
kefahaman hadis di atas, balasan Allah SWT atas kesabaran Umm Salamah yang
diuji dengan kematian suaminya Abu Salamah, ialah beliau dikahwini oleh
Rasulullah s.a.w.
Dalam sebuah hadis
lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal r.a. yang bermaksud, “Abu
Sinan berkata: Setelah aku mengebumikan anakku, aku masih berada di kubur.
Tiba-tiba datang Abu Talhah al-Khaulaniy lantas memegang tanganku dan membawa
aku keluar sambil berkata: Adakah engkau suka sekiranya aku menceritakan
sesuatu yang mengembirakanmu? Jawab Abu Sinan: Baiklah. Lalu Abu Talhah berkata
bahawa al-Dahhak bin Abd al-Rahman bin ‘Azib telah menceritakan kepadaku
daripada Abu Musa katanya: Sabda Rasulullah s.a.w bahawa Allah SWT telah
berfirman (yang bermaksud): Wahai Malaikat Maut, engkau telah mencabut nyawa
seorang anak daripada hamba-Ku, engkau telah mengambil buah hatinya dan anak
kesayangannya. Jawab Malaikat Maut: Ya! Lalu Allah SWT berfirman, apa yang ia
kata (ketika kematian anaknya itu)? Jawabnya: Ia memuji Engkau dengan berkata
kami ini adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan.
Maka Allah SWT berfirman: Binalah untuknya sebuah rumah di dalam syurga dan
berilah namanya dengan Bait al-Hamd.” (Ibn Kathir, 1992. Tafsir al-Quran
al-‘Azim, jld. 1 hlm. 204)
Hadis kedua ini
pula menjelaskan sikap Abu Sinan yang tetap memuji Allah SWT walaupun anak
kesayangannya meninggal dunia. Sebagai balasan dibina sebuah rumah untuknya di
dalam syurga.
Jelaslah ujian
Allah SWT ini untuk melihat kekuatan akidah para hamba-Nya, sama ada hanya bertuhankan-Nya
dalam keadaan senang-lenang saja atau terus betuhankan-Nya dalam apa jua
keadaan sekalipun.
Oleh itu, dapatlah
disimpulkan bahawa Allah SWT menguji keimanan para hamba-Nya dengan pelbagai
musibah. Musibah Allah SWT itu bukanlah sekadar kematian saja, malah ia
didatangkan dalam berbagai bentuk dan keadaan.
Orang-orang yang
berjaya menempuhi ujian Allah SWT dengan penuh kesabaran, akan dianugerahkan
balasan pahala. Malah Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang hilang itu
dengan sesuatu perkara yang lebih baik, seperti yang dijelaskan di dalam hadis
di atas.
Jadi dalam hal ini
setiap umat Islam hendaklah mempunyai akidah yang betul, iaitu dengan
berakidahkan bahawa semua makhluk yang wujud di atas muka bumi ini adalah hamba
dan milik Allah. Sebaik sahaja mengaku bahawa kita sebagai hamba dan milik
Allah SWT, kita hendaklah meredai apa jua musibah yang menimpa kita. Sebenarnya
di sebalik musibah itu mempunyai hikmah yang besar, di mana kita sendiri tidak
mengetahuinya.
Maka dengan
ketabahan hati menghadapi kesukaran, kesulitan dan penderitaan yang menimpa
kita, sebenarnya sebagai suatu latihan untuk menempuh banyak lagi penderitaan
pada masa-masa akan datang.
Orang-orang yang
tabah sentiasa diberikan perlindungan dan rahmat oleh Allah SWT. Jiwa yang
sering melalui proses ujian ini semakin lama semakin teguh, kerana sentiasa
digembeling dan disaring oleh zaman.
Secara khususnya
kepada mangsa-mangsa banjir besar di Pahang, Kelantan dan Terengganu ketika ini
diharapkan dapat menempuh musibah itu hendaklah banyak bersabar. Hanya dengan
sabar semua kesulitan dan penderitaan dapat diatasi. Hal ini kerana sesuatu
kehidupan itu tidak membeku begitu saja.
Mudah-mudahan hasil
daripada kesabaran itu, Allah SWT akan berikan ganjaran pahala dan gantikan
segala harta benda yang rosak itu dengan harta benda lain yang lebih baik.