ISU PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DALAM AGAMA LAIN: LARANGAN NAS AL-QUR’AN DAN HADIS ATAU SEBAB MASLAHAH UMUM?

Isu penggunaan kalimah Allah merupakan isu asas yang paling besar dalam agama Islam. Dalam setiap agama, tonggak yang paling besar ialah kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan yang hendak disembah.

Al-Qur’an telahpun menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara akidah Islam dengan ajaran anutan agama-agama lain. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku” (Surah al-Kafirun, 109:8). Maksudnya, Islam dengan Islam Allahnya, manakala Kristian dengan Tuhan Jesus, Lord atau Godnya.

Dalam Islam, akidah tauhid yakni mengesakan Allah s.w.t. itu adalah sangat penting. Malahan sudah menjadi salah satu daripada amalan hidup Islam, Allah s.w.t. itu sentiasa ada bersama-sama dengan orang beriman pada setiap masa dan sentiasa diucapkan-Nya. Misalnya, ketika hendak makan, minum, berjalan, menaiki kenderaan, tidur dan masuk serta keluar tandas diucapkan basmalah; bayi yang baru lahir ke dunia juga disambut dengan azan dan kalimah Allah, malah orang yang sedang nazak pun diajarkan kalimah syahadah. Hal ini mempamerkan bahawa kalimah Allah sentiasa berada dalam diri orang yang beriman dan merupakan asas akidah tauhid.

Jika diteliti pula penggunaan kalimah Allah dalam al-Qur’an, misalnya dalam Surah al-Baqarah (2) yang mengandungi 286 ayat, didapati kalimah Allah telah diulang sebanyak 279 kali. Ini menunjukkan hampir setiap ayat dalam surah tersebut ada disebut kalimah Allah. Malah ada juga surah yang bilangan pengulangan kalimah Allah dalamnya melebihi bilangan ayatnya, misalnya dalam Surah al-Mujadalah (58) yang mengandungi 22 ayat, diulang kalimah Allah sebanyak 34 kali. Menurut Nurul Izzah Sidek dalam artikelnya yang bertajuk Pemahaman Konsep Allah, pengulangan kalimah Allah dalam al-Qur’an melebihi 20,000 kali. Dalam mengerjakan solat lima waktu sehari semalam pula, kalimah Allah disebut sebanyak 425 kali bagi 17 rakaat. Hal ini mempamerkan betapa dekatnya kalimah Allah dengan umat Islam.

Umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa telah menyebut dan menulis kalimah Allah dari kitab suci al-Qur’an. Kalimah Allah ini tidak diterjemahkan ke bahasa masing-masing, kerana Ia tidak mampu diterjemahkan ke bahasa-bahasa lain.

Namun, pada kebekalangan ini timbul persoalan mengapa orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah yang merujuk kepada Tuhan Jesus, Lord atau konsep triniti (3 dalam 1)? Kenapa hanya Bible edisi bahasa Melayu sahaja yang menggunakan kalimah Allah, sedangkan edisi bahasa Inggerisnya tidak pula berbuat demikian? Adakah terdapat agenda disebaliknya? Dari sini timbullah prasangka-prasangka yang berkemungkinan ada asasnya. Untuk melihat pendirian Islam berhubung perkara ini, umat Islam terlebih dahulu perlu merujuk kepada al-Qur’an dan hadis. 

Jika diteliti dalam al-Qur’an, akan ditemui kisah golongan musyrikin yang menyebut kalimah Allah. Pada masa yang sama, al-Qur’an tidak pula melarang hal tersebut. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Demi sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan mereka? Maka sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakan-Nya)? Dan (Dialah Tuhan yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku (Allah)! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang enggan beriman (maka terserahlah kepadamu untuk mengadilinya)” (Surah al-Zukhruf, 43:87-88).

Dalam ayat yang lain Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Dan sesungguhnya jika Engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik)” (Surah al-‘Ankabut, 29:63).

Inilah antara ayat-ayat al-Qur’an yang jelas mempamerkan al-Qur’an tidak melarang golongan bukan Islam mengguna atau menyebut nama Allah s.w.t. sebagai Pencipta, Pengurus dan Pentadbir alam semesta ini. Malah dalam ayat 63 daripada al-‘Ankabut Allah s.w.t. menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. bersyukur apabila golongan bukan Islam mengakui Allah s.w.t. yang menurunkan hujan dan menciptakan alam ini. Jelaslah bahawa larangan dalam kedua-dua ayat ini bukanlah berhubung sebutan atau penggunaan nama Allah s.w.t., tetapi disebabkan oleh kesyirikan golongan musyrikin pada ketika itu. Akidah mereka terpesong apabila mereka menjadikan berhala-berhala yang mereka sembah seperti Latta dan ‘Uzza sebagai perantara antara mereka dengan Allah s.w.t.

Selain itu, ketika menjelaskan tujuan peperangan untuk mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya tanpa sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah. Jika Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya. Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (Islam). Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa” (Surah al-Hajj, 22:40). Dalam ayat ini jelas diakui bahawa tempat-tempat ibadah itu banyak disebut nama Allah s.w.t.

Adapun dalam hadis mengenai perjanjian damai Hudaibiah antara Rasulullah s.a.w. dengan golongan musyrikin Quraisy Mekah yang diwakili oleh Suhail bin ‘Amr, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Barangkali aku boleh tulis bismillahirrahmanirrahim. Lalu Suhail berkata: Adapun bismillah (dengan nama Allah) kami tidak tahu apa itu bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu bismikalLahumma (dengan namaMu ya Allah)” (Riwayat Muslim). Dalam hadis riwayat al-Bukhari dijelaskan Rasulullah s.a.w. menerima bantahan tersebut. Ternyata di sini mereka menggunakan nama Allah.

Meskipun tiada larangan dari nas al-Qur’an dan hadis berhubung penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam, namun Allah s.w.t. tetap melarang dakwaan Ia adalah satu daripada yang tiga (triniti), yakni kepercayaan tentang kewujudan tiga entiti membentuk satu Tuhan. Dalam triniti, ada disebut anak Tuhan (Nabi Isa a.s.). Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada yang tiga (triniti). Padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan (Allah) Yang Maha Esa” (Surah al-Maidah, 5:73).

Dalam akidah Islam, Nabi Isa a.s. adalah seorang Rasul yang mulia. Rasul bukanlah anak Tuhan, tetapi ia adalah manusia yang dipilih oleh Allah s.w.t. untuk menyampaikan ajaran-Nya kepada manusia. Di sini wujudnya perbezaan yang besar antara akidah Islam dengan ajaran Kristian.

Oleh itu, kefahaman Allah yang sebenar adalah mengikut maksud akidah tauhid. Maka penggunaan kalimah Allah dalam Islam adalah selari dengan akidah tauhid, yakni merujuk kepada Allah yang Esa dan sama sekali tidak secocok dengan konsep trinti. Justeru, sekiranya nama Allah digunakan dengan sesuka hati, ia akan menimbulkan kekeliruan berhubung Allah dalam konteks akidah Islam dan Allah dalam pemahaman ajaran agama lain. Jika ini terjadi, dibimbangi kedua-dua agama akan disamakan sedangkan pada hakikatnya kedua-duanya adalah berbeza.

Dalam konteks Malaysia, apabila agama lain dibenarkan menggunakan kalimah Allah, ia akan menjadi perkara sensitif dalam hubungan agama. Meskipun masih wujud lagi perbincangan mengenai kaharusan dan keterbukaan penggunaan kalimah Allah dalam agama lain, tetapi demi kemaslahatan umum, ia sama sekali tidak wajar ditimbulkan.

Perlu ditegaskan bahawa penggunaan God adalah konotasi Tuhan secara umum, manakala Allah adalah khusus sama ada dari segi makna dan sifat-Nya. Justeru, hakikat Allah adalah bersifat Esa dan bukannya berbilang-bilang. Oleh itu, penggunaan Allah dalam agama Islam dan dalam agama lain sama sekali tidak boleh disamakan. Apatah lagi ia boleh mengelirukan akidah umat Islam.

Kesimpulannya, tiada nas daripada al-Qur’an dan hadis yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Cuma yang jelas al-Qur’an dan hadis hanya melarang perbuatan orang bukan Islam yang mensyirikkan-Nya. Namun atas sebab-sebab maslahah ‘ammah (kemaslahatan umum) orang bukan Islam tetap dilarang menggunakan kalimah Allah. Ini kerana ia dibimbangi boleh mengelirukan akidah umat Islam dan menimbulkan ketegangan hubungan antara agama. Atas alasan ini, penggunaan kalimah Allah dalam agama lain wajar dilarang.

Popular posts from this blog

GOLONGAN ANTI HADITH SELEWENGKAN TAFSIRAN AL-QUR'AN

ANAK ‘ISTIMEWA’ ANUGERAH ALLAH UNTUK IBU BAPA ISTIMEWA