Ketika saya
berada di Kuala Terengganu pada 1 dan 2 Disember 2012 baru-baru ini, Alhamdulillah
saya telah menghadiri International Seminar on al-Qur’an in Contemporary
Society (SQ2012). Seminar ini dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Kontemporari Islam
(FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), Kuala Terengganu, Terengganu
dengan kerjasama Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM), bertempat di Permai
Hotel, Kuala Terenggau, Terengganu.
Dalam
seminar ini, saya telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk Andaian
Sumber Alam Terhad Dalam Teori Pembangunan Lazim: Analisis Berdasarkan Tasawur
Al-Qur’an. Penulisan kertas kerja ini adalah bertitik tolak daripada andaian
teori-teori pembangunan lazim yang beracuankan Falsafah Pasca-Klasikal dan
Radikal bahawa sumber alam (SA) itu adalah terhad, manakala kemahuan manusia
tidak terhad. Berdasarkan kepada isu inilah
maka kertas kerja ini bertujuan mengkaji dan menganalisis SA berdasarkan
tasawur atau pandangan al-Qur’an. Akhirnya, kajian perpustakaan yang menggunakan kaedah
analisis kandungan ini merumuskan bahawa berdasarkan tasawur al-Qur’an, SA itu
sebenarnya tidak terhad. Ketidakterhadan ini adalah berasaskan kepada empat
faktor iaitu konsep rezeki, konsep barakah
(keberkatan), kaedah pengagihan semula SA, dan kaedah penggunaan SA. Secara
tidak langsung, kajian ringkas ini dapat memperkemaskan prinsip keenam
pembangunan berteraskan Islam iaitu SA sebagai peralatan pembangunan yang
diperkenalkan oleh Profesor Muhammad Syukri Salleh.
Turut membentang juga dalam seminar
ini ialah tiga orang ahli ISDEV iaitu Dr. Zahri Hamat yang membentang kertas
kerja yang bertajuk Perakaunan Zakat Penggajian Dalam Al-Qur’an: Satu
Penilaian Semula; Ustaz Mohd Syakir Mohd Rosdi yang membentangkan kertas
kerja yang tajuk Tahaluf Siyasi dari Perspektif Al-Qur’an: Satu Analisis
Konseptual; dan Ustaz Shahir Akram Hassan yang membentangkan kertas kerja
yang bertajuk Kedudukan Wahyu dan Akal dalam Penyelidikan.
|
Sesi Pembentangan Saya yang dipengerusikan oleh Wan Rosili Majid (IKIM) |
|
Pembentangan Us. Mohd Syakir Rosdi yang Menjadi Tumpuan Ramai Peserta |
|
Bergambar Bersama Dato' Prof. Zulkifli Yusof dari Universiti Malaya |
|
Bahan-bahan Seminar yang disediakan Oleh Pengajur |
|
Kad Pembentang yang dilengkapi Dengan Pen Drive 4G (Mengandungi Prosiding) |
|
Giliran Pembentangan Us. Shahir Akram Hassan pada Hari Kedua Seminar |
|
|
Dr. Zahri Hamat Sedang Menunggu Giliran Pembentangannya |