BH-ISLAM UBAH TASAWUR MASYARAKAT JAHILIAH
Berita Harian, 7 Januari 2013, hlm. 32 |
Islam Ubah Tasawur Masyarakat Jahiliah
Pembentukan
tasawur Islam bermula daripada penerimaan dan penyebaran wahyu Allah SWT oleh
Rasulullah SAW di Mekah. Setiap kali Rasulullah SAW menerima wahyu berupa
ayat-ayat al-Qur’an, Baginda menyebarkan dan menjelaskannya kepada umat Islam
ketika itu. Sebenarnya perkara ini lebih jelas dilihat daripada proses
pembentukan perkara-perkara pokok yang merupakan bahagian terpenting dalam
tasawur Islam. Perkara-perkara pokok itu ialah akidah, ibadah dan akhlak.
Perbincangan
tentang proses pembentukan elemen-elemen pokok yang membawa kepada pembentukan tasawur Islam ini sebenarnya telah memakan masa
yang agak lama. Ertinya, hal ini bermula daripada peranan Rasulullah SAW
menyebarkan dan menjelaskan wahyu itu.
Sebenarnya
era Mekah merupakan era yang sangat penting berhubung pembentukan tasawur Islam
ini. Tambahan pula kebanyakan surah dalam al-Qur’an diturunkan di Mekah.
Menurut Muhammad Sayyid Tantawiy dalam Mabahith fi ‘Ulum al-Qur’an, sebanyak
82 surah daripada 114 surah dalam al-Qur’an diturunkan di Mekah. Jelas di sini
bahawa pembentukan tasawur Islam bermula sejak penurunan wahyu di Mekah lagi.
Oleh
kerana sebahagian besar al-Qur’an itu diturunkan di Mekah, maka perbincangan
tentang penurunan wahyu di Mekah itu boleh dibahagikan kepada dua era pula
iaitu era awal dan era akhir penurunan al-Qur’an di Mekah.
Wahyu
yang diturunkan pada era awal penurunan al-Qur’an di Mekah itu mengandungi
konsep-konsep tentang ketuhanan dan keimanan kepada Allah SWT, hari akhirat,
hari pembalasan, penciptaan alam, syurga dan neraka, balasan baik dan buruk,
dan sebagainya. Semua ini merupakan perkara asas tasawur Islam yang paling
penting.
Wahyu
yang diturunkan pada era akhir penurunan al-Qur’an di Mekah pula telah
memperkenalkan konsep-konsep yang lebih luas dan abstrak seperti konsep ilmu,
kenabian, agama, ibadah, dan sebagainya.
Penurunan
wahyu dalam kedua-dua era ini sangat penting terhadap proses pembentukan
tasawur Islam. Paling tidak terdapat dua sebab kepentingannya. Pertama,
sebahagian besar al-Qur’an diturunkan di Mekah; dan kedua, kandungan wahyu dan
penjelasan Nabi Muhammad SAW serta kesungguhan masyarakat Muslim dalam memahami
wahyu pada ketika itu telah membentuk struktur konsep baru tentang dunia. Ia
merupakan elemen penting dalam tasawur
Islam.
Berhubung
kepentingan kedua ini, Toshihiko Izutsu dalam God and Man in the Koran:
Semantics of the Koranic Weltanschauung menjelaskan bahawa sebelum
kedatangan Islam struktur konsep tentang dunia telah dipengaruhi oleh tasawur
masyarakat pra-Islam (Jahiliah). Kedatangan Islam telah berjaya merubah
struktur konsep tentang dunia yang dibentuk oleh tasawur masyarakat Jahiliah
itu. Ia kemudiannya digantikan dengan struktur konsep baru tentang dunia yang
dibawa oleh Islam.
Misalnya,
pada zaman Jahiliah konsep karam bermaksud kemuliaan kerana memiliki
harta dan anak yang ramai. Kedatangan Islam telah merubah konsep karam
menurut tasawur Jahiliah itu menjadi kemuliaan kerana ketinggian ketakwaan
kepada Allah SWT. Demikian ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai
manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu
saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di
sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali” (Surah al-Hujurat ayat 13).
Selain
itu, wahyu yang diturunkan pada era Madinah mengandungi tema-tema umum yang
berbentuk penyempurnaan ritual peribadatan, rukun Islam, sistem hukum yang
mengatur hubungan individu, keluarga dan masyarakat. Termasuk juga di sini
ialah hukum-hukum tentang jihad, perkahwinan, pewarisan, hubungan umat Islam
dengan golongan bukan Islam dan sebagainya. Secara keseluruhannya, semua tema
ini berkait rapat dengan kehidupan masyarakat Muslim.
Meskipun
begitu keadaannya, tema-tema wahyu yang diturunkan pada era Madinah ini sebenarnya
tidak terpisah daripada tema-tema wahyu yang diturunkan di Mekah. Ia dilihat
masih membincangkan tema-tema wahyu yang diturunkan pada era Mekah. Era Mekah
menekankan beberapa prinsip dasar akidah yang inti patinya adalah konsep
ketuhanan, sedangkan era Madinah mengembangkan prinsip-prinsip itu ke dalam
konsep-konsep sosial yang lebih berbentuk aplikasi.
Nota:
Artikel ini sebahagian daripada hasil kajian Geran Insentif USM (2012-2013),
Pulau Pinang.