KULIAH SUBUH: TIGA SUMPAH RASULULLAH SAW
Alhamdulillah,
pagi tadi (Ahad, 27 Januari 2013) saya telah berkesempatan berkongsi sedikit
ilmu yang ada dengan ahli-ahli Qariah Masjid Al-Amin, Sungai Dua, Kepala Batas menerusi
slot Kuliah Subuh. Dalam Kuliah Subuh kali ini, saya telah menyampaikan sebuah
Hadith Rasulullah SAW yang membicarakan tentang “Tiga Sumpah Rasulullah SAW”.
Hadith ini bukan setakat membicarakan tentang tiga sumpah Rasulullah SAW, malah turut juga membincangkan tentang “Empat Jenis Golongan Manusia
yang Mendiami Bumi”.
Pada
awal Hadith ini, Nabi SAW
bersumpah dengan tiga perkara. Pertama, harta tidak susut atau berkurang dengan sedekah;
kedua, Allah SWT akan mengangkat darjat orang yang dizalimi dengan syarat ia menghadapinya
dengan penuh kesabaran; dan ketiga, Allah SWT akan membuka ‘pintu kefakiran’
kepada orang yang suka membuka ‘pintu masalah’.
Dalam
bahagian kedua Hadith ini pula, Nabi SAW menceritakan tentang empat jenis golongan
manusia yang mendiami bumi. Pertama, manusia yang berilmu dan berharta; kedua,
manusia yang berilmu, tetapi tiada harta; ketiga, manusia yang berharta, tetapi
tiada ilmu; dan keempat, manusia yang tiada ilmu dan harta. Manusia yang mulia
di sisi Allah SWT hanyalah manusia yang tergolong dalam golongan pertama dan
kedua. Nas'al Allah an yuwaffiqana li khidmat al-Islam wa al-Muslimin.