MAJALAH DAKWAH: PENCORAKAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN TASAWUR ISLAM
SESUATU pembangunan yang muncul sudah tentu ia dicorak berasaskan kepada acuannya yang tersendiri. Misalnya, dalam teori pembangunan lazim, pembangunan dikatakan muncul hanya dari dua acuan falsafah. Pertama, falsafah pasca-klasikal, manakala kedua, falsafah radikal. Adapun pembangunan berteraskan Islam pula, ia dicorak berasaskan acuan tasawur Islam.
Tasawur Islam yang dimaksudkan di sini ialah gambaran komprehensif dan hakiki mengenai Islam. Ia bertujuan menjelaskan prinsip-prinsip asas Islam secara benar dan menyeluruh, sehingga menjadi asas kepada pandangan hidup dan bersebati dalam diri orang yang benar-benar memahaminya.
Umumnya, al-Quran secara langsung dan tidak langsung telah menggambarkan tentang terdapatnya tiga pokok utama tasawur Islam ini. Pertama, Allah s.w.t sebagai Pencipta; kedua, manusia sebagai makhluk; dan ketiga, alam semesta juga sebagai makhluk.
Jadi setiap orang yang mendapat gambaran bentuk Islam yang hakiki dan memahami secara keseluruhan prinsip asas Islam yang terkandung dalam al-Quran serta beramal dengannya, sudah tentu ia mampu membawa kepada kemurnian peribadi Islam dan kecemerlangan hidup masyarakat Islam di dunia dan di akhirat.
Jika dilihat kepada pembangunan berteraskan Islam yang dicetuskan oleh Profesor Muhammad Syukri Salleh, Pengarah, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, tasawur Islam dijadikan asas atau acuan dalam pembentukan pembangunannya yang tulen. Ia pada asasnya adalah tapak bagi setiap aspek kehidupan manusia, manakala prinsip pembangunan berteraskan Islam adalah tapak khusus bagi pembangunan. Daripada tasawur Islam inilah lahirnya prinsip-prinsip pembangunan berteraskan Islam yang lain.
Misalnya, prinsip pembangunan berteraskan Islam yang kedua (manusia sebagai pelaku pembangunan) lahir daripada tasawur Islam yang meyakini bahawa manusia adalah makhluk Allah s.w.t. Prinsip pembangunan berteraskan Islam yang ketiga (alam roh, alam dunia dan alam akhirat sebagai skala waktu pembangunan), keempat (ilmu fardu ain kerangka pembangunan), kelima (ibadah sebagai perkaedahan pembangunan) dan ketujuh (mendapat keredhaan Allah s.w.t sebagai matlamat akhir) pula berhubung rapat dengan tasawur Islam yang meyakini bahawa Allah s.w.t adalah Pencipta, manakala prinsip pembangunan berteraskan Islam yang keenam (sumber alam sebagai perkaedahan pembangunan) pula lahir daripada tasawur Islam yang meyakini bahawa alam semesta adalah makhluk Allah s.w.t.
Selanjutnya lihat Majalah Dakwah, Jan. 2013, keluaran YADIM
Selanjutnya lihat Majalah Dakwah, Jan. 2013, keluaran YADIM