BH: UTAMAKAN PEMIMPIN DIYAKINI RAKYAT


Berita Harian, Rabu, 20 Februari 2013, hlm. 34

Dalam kerancakan pemimpin parti-parti politik berkempen dan berceramah untuk menarik lebih ramai penyokong, kadangkala dilihat cara mereka berkempen itu sudah melampaui batas-batas yang ditetapkan oleh Islam.

Mereka sering menggunakan pendekatan mendedahkan segala kelemahan dan keburukan orang lain, tanpa cuba menonjolkan kekuatan dan kelebihan yang dimiliki. Oleh kerana terlalu ingin mencapai kemenangan, mereka bertindak mencanang dan menyebarkan kelemahan dan keburukan orang lain tanpa menghiraukan sama ada perkara yang disebarkan itu benar atau tidak. Lebih mendukacitakan lagi apabila ia melibatkan perihal peribadi individu-individu tertentu.

Sebenarnya, penggunaan pendekatan sebegini dalam berkempen terutamanya oleh pemimpin-pemimpin yang beragama Islam amat merbahaya. Pemimpin yang menang dengan cara sebegini bukan menang kerana kekuatan dan kelebihanya, tetapi menang disebabkan ramai orang termakan dengan segala kelemahan dan keburukan orang lain yang dicanangnya.

Kebiasaannya, pemimpin sebegini tidak akan kekal lama, bahkan sentiasa terdedah dengan kejatuhan dan penghinaan. Kalau mereka tidak jatuh dan dihina semasa hidup di dunia ini, mereka akan jatuh dan dihina ketika di akhirat nanti.

Perlu diingatkan bahawa segala kekuasaan dan kemuliaan itu adalah hak mutlak Allah SWT. Dia berhak memberi kuasa pemerintahan dan kemuliaan kepada sesiapa saja yang dikehendaki dan menarik balik semua itu daripada sesiapa saja yang dikehendaki. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan (Allah) yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Ali Imran ayat 26)

Pendekatan ini jauh berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh Rasulullah SAW ketika melancarkan kempen Islam kepada penduduk Yaman. Tambahan pula terdapat golongan intelek yang terdiri daripada ahli-ahli kitab dalam kalangan penduduk Yaman itu.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW tidak menggunakan pendekatan mendedahkan atau menyebarkan kesesatan dan keburukan agama yang sedang dianuti oleh penduduk-penduduk Yaman pada ketika itu, sebaliknya Baginda memulakan sesuatu kempen itu dengan menonjolkan kekuatan dan kualiti peribadi pemimpin yang ditugaskan untuk berkempen iaitu Mu‘az bin Jabal. Maksudnya di sini Baginda cuba untuk membina kepercayaan dalam diri pihak yang dikempen (penduduk Yaman) terhadap Mu‘az bin Jabal.

Untuk menerangkan tentang diri Mu‘az bin Jabal yang diutuskan itu, Rasulullah SAW telah menulis sepucuk surat kepada penduduk Yaman. Dalam surat itu Baginda SAW menyatakan “Sesungguhnya aku telah utuskan kepada kamu orang yang terbaik daripada keluargaku.” Surat Baginda ini sudah tentu dapat memberikan pengaruh besar dan membina kepercayaan yang tinggi dalam diri penduduk Yaman terhadap Mu’az bin Jabal. Paling tidak mereka mengetahui bahawa Mu‘az bin Jabal adalah orang terbaik kerana beliau dianggap sebahagian daripada ahlul bait Rasulullah SAW.

Jelas di sini bahawa dalam berkempen, kualiti peribadi dan latar belakang seseorang pemimpin itu merupakan salah satu kekuatan dan kelebihan yang patut ditonjolkan. Hal ini dapat membina kepercayaan dalam diri pihak yang dikempen terhadap seseorang pemimpin.

Bagi membuktikan betapa pentingnya aspek kualiti peribadi seseorang pemimpin itu, Rasulullah SAW sentiasa berpesan secara khusus kepada para pemimpin agar memelihara kualiti diri dengan sentiasa bertakwa kepada Allah SWT, memperbanyakan zikir dan bertaubat kepada-Nya apabila terlanjur melakukan sesuatu kesalahan.

Atha’ bin Yasar menyatakan bahawa Rasulullah SAW mengutuskan Mu‘az bin Jabal ke Yaman, lalu Mu‘az berkata: Wahai Rasulullah, berikanlah aku wasiat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud, “Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dengan semaksima kemampuan. Sebutlah nama Allah SWT setiap kali engkau melintasi batu-batuan dan pohon-pohonan. Apabila engkau melakukan kesalahan, maka iringilah dengan taubat. Kesalahan yang tersembunyi dengan taubat yang tersembunyi, kesalahan yang terang-terangan dengan taubat yang terang-terangan.” (Riwayat al-Bukhari).

Berdasarkan hadis ini dapatlah difahami bahawa dalam berkempen, perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah dengan menonjolkan kekuatan dan kelebihan yang dimiliki iaitu aspek kualiti diri pemimpin dan perancangan pembangunan, bukan dengan cara mendedahkan kelemahan dan keburukan orang lain semata-mata untuk menutupi segala kelemahan dan kepincangan yang ada.

Kadangkala kerana terlalu asyik mendedahkan kelemahan dan keburukan orang lain, mereka terlupa untuk menonjolkan kekuatan dan kelebihan yang ada iaitu kualiti peribadi pemimpin dan perancangan pembangunan ke arah memajukan Islam dan umat Islam. Bukan setakat itu, malah mereka juga terlupa melaksanakan segala janji yang ditaburkan.

Sebagai pemimpin, terutama yang memperjuangkan Islam mereka seharusnya membina budaya dan sikap tersendiri. Mereka tidak seharusnya terpengaruh dengan budaya dan sikap yang dilarang oleh Islam. Mesej Islam yang dibawa seharusnya membentuk satu pasukan Islam yang sentiasa mengikut peraturan dan adab sopan Islam. Dalam hal ini biarlah orang yang dikempen itu tertarik dengan kualiti peribadi pemimpin dan perancangan pembangunan yang diatur.

Dalam berkempen mereka tidak boleh membuat fitnah, menyebar fitnah, mengumpat dan mendengar umpatan. Islam melarang umatnya mendedahkan aib orang lain sebaliknya diminta supaya menutup keaiban itu daripada pengetahuan umum.

Perkara yang paling penting dalam berkempen ialah kebaikan dan perancangan pembangunan yang berteraskan Islam perlu ditonjolkan setiap masa. Usaha ini lebih berkesan daripada menyerang musuh dengan mendedahkan keaiban mereka.

Dalam hal ini, tidak salah jika kita mempelajari sesuatu daripada bentuk iklan syarikat yang mempromosi produk mereka. Dalam iklannya, tidak pernah didedahkan kekurangan dan kelemahan produk syarikat-syarikat lain. Sebaliknya kebaikan dan kelebihan yang ada pada produknya didedahkan sepenuhnya berkali-kali.

Popular posts from this blog

GOLONGAN ANTI HADITH SELEWENGKAN TAFSIRAN AL-QUR'AN

ANAK ‘ISTIMEWA’ ANUGERAH ALLAH UNTUK IBU BAPA ISTIMEWA