KULIAH SUBUH: 7 WASIAT RASULULLAH (SIRI 1)

Seperti biasa, setiap Ahad hujung bulan saya dijemput menyampaikan Kuliah Subuh di Masjid Al-Amin, Sungai Dua, Kepala Batas. Alhamdulillah, pagi tadi (24 Februari 2013) saya telah diizinkan oleh Allah SWT untuk berkongsi ilmu dengan ahli-ahli Qariah Masjid Al-Amin tersebut. Dalam Kuliah Subuh kali ini, saya telah menyampaikan sebuah Hadith Rasulullah SAW yang membicarakan tentang “7 Wasiat Rasulullah SAW Kepada Abu Zar al-Ghifari”.

Meskipun Hadith ini membincangkan tentang 7 wasiat Rasulullah SAW kepada Abu Zar al-Ghifari, namun ia bukan hanya khusus kepada Abu Zar al-Ghifari, malah untuk semua umat Islam.

Untuk kuliah bulan ini, perbincangan tertumpu kepada biodata Abu Zar al-Ghifari dan wasiat pertama Rasulullah SAW iaitu perintah supaya mencintai (hubb) orang miskin dan sentiasa mendekati mereka. Maksudnya, Islam menganjurkan umatnya berlaku tawadhu‘ terhadap orang-orang miskin; duduk bersama-sama mereka; menolong mereka; menyelami bebanan yang mereka tanggung dan bersabar bersama-sama mereka.

Sebenarnya tidak cukup kalau seseorang itu hanya mengasihi dan mendekati golongan miskin di kala dia ‘perlukan sokongan’ mereka untuk sesuatu ‘kepentingan’. Apa yang Allah SWT dan Rasulullah SAW tuntut adalah mengasihi dan mendekati golongan miskin dengan keimanan. Menurut Sayyid Qutub, keimanan bukan hanya kata-kata yang manis dibibir. Keimanan yang sebenar mendatangkan perubahan di dalam hati yang melahirkan kebaikan hidup bersama dengan manusia lain. Dengan kata lain, keimanan harus diterjemahkan dalam perbuatan yang nyata.

Kuliah kali ini berakhir sekitar jam 8.10 pagi. Selepas itu, saya bersama Tuan Imam, Ustaz Suhaimi, En. Halim (AJK Dakwah dan Pendidikan) dan Cikgu Ahmad Ismail (bekas Pengarah RECSAM) minum pagi di Restoran Seven Star yang berhampiran dengan Masjid. Sambil-sambil minum pagi, Cikgu Ahmad Ismail seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang pendidikan membincangkan beberapa pendekatan yang beliau rasakan wajar dilaksanakan untuk memajukan sistem pendidikan tidak formal di masjid-masjid pada masa kini.

Antara perkara yang beliau tekankan ialah setiap masjid patut merangka silibus khusus untuk kelas-kelas pengajian. Selain itu, setiap perkara yang dibincangkan dalam kuliah-kuliah atau kelas-kelas pengajian di masjid perlu disandarkan kepada nas al-Qur’an dan Hadith. Hal ini dapat meyakinkan para pendengar. Secara peribadi, beliau kurang senang dengan pendekatan ‘emosional’ sesetengah penceramah meskipun diakui pendekatan itu dapat menarik minat ramai pendengar. Kadangkala kerana terlalu emosi, setiap perkara yang patut dibincangkan itu tidak dapat disampaikan dengan sempurna.   

Popular posts from this blog

GOLONGAN ANTI HADITH SELEWENGKAN TAFSIRAN AL-QUR'AN

ANAK ‘ISTIMEWA’ ANUGERAH ALLAH UNTUK IBU BAPA ISTIMEWA