SAMBUTAN VALENTINE’S DAY BUKAN DARI BUDAYA ISLAM
Budaya
menurut Kamus Dewan diertikan sebagai tamadun, peradaban dan keseluruhan cara
hidup yang merangkumi cara berfikir, berkelakuan dan cara bertindak serta
segala hasil kegiatan atau amalan kerohanian sesuatu masyarakat.
Islam
menggalakkan umatnya berbudaya kerana akal yang ada pada manusia menjadikannya
makhluk yang bertamadun dan berperadaban. Dalam hal ini, Islam telah
menggariskan prinsip-prinsip kebudayaannya yang tersendiri sebagaimana yang
terkandung dalam al-Quran dan hadis. Maka dengan itu akan lahirlah budaya hidup
masyarakat Islam yang hakiki berteraskan iman dan takwa.
Hal
ini sama sekali berbeza dengan kebudayaan bukan Islam yang prinsip-prinsipnya dibentuk,
dibina dan dikembang oleh pemikiran manusia berdasarkan hawa nafsu dan pengalaman
hidup mereka semata-mata.
Sebenarnya
golongan yang tidak senang dengan Islam cuba merosakkan budaya dan peradaban umat
Islam dengan berbagai-bagai cara. Mereka berusaha melalaikan umat Islam dengan
pelbagai bentuk budaya dan peradaban yang bercanggah dengan syarak. Apabila
umat Islam telah lalai dan leka, mereka akan meminggirkan ajaran agama Islam.
Terpinggirnya ajaran dan amalan keagamaan dalam diri umat Islam akan menjadikan
mereka umat yang lemah dan mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif.
Snouk
Hurgronje, seorang orientalis dan penasihat Belanda di Indonesia pernah menjelaskan
bahawa semakin kuat rakyat sesebuah negara yang dijajah itu menganut budaya dan
peradaban Barat, maka semakin bebas mereka daripada ajaran Islam.
Pada
masa kini, umat Islam terpaksa menghadapi berbagai-bagai bentuk ancaman budaya.
Antara ancaman tersebut khususnya yang perlu dihadapi ketika menjelang bulan Februari
setiap tahun ialah penularan budaya sambutan Hari Kekasih atau lebih dikenali
sebagai Valentine’s Day.
Menurut
Ken Swiger dalam artikelnya ‘Should
Biblical Christians Observe It?’ menjelaskan, perkataan Velentine berasal
daripada bahasa Latin yang bermaksud ‘yang perkasa, kuat dan kuasa’. Ini
ditujukan khas kepada Nimroe dan Lupercus tuhan masyarakat Rom. Dalam hal ini,
sedar atau tidak seseorang yang menyambut Hari Velentine adalah sama seperti
menghidupkan kembali budaya pendewaan dan pemujaan patung-patung sembahan
masyarakat Rom itu.
Meskipun
begitu, sesetengah orang beranggapan sambutan ini kononnya adalah semata-mata
untuk mengeratkan hubungan kasih sayang sesama manusia, lalu sebilangan masyarakat
Melayu pun tidak terkecuali dalam menyambut Hari Valentine ini yang jatuh pada
14 Februari setiap tahun.
Tidak
cukup dengan itu, kadangkala terdapat sesetengah pasangan yang ingin bertunang
dan berkahwin sengaja memilih 14 Februari sebagai tarikh untuk melangsungkan pertunangan
dan perkahwinan mereka. Dengan ini mereka beranggapan kononnya pertunangan dan perkahwinan
itu akan dilimpahi dengan ‘rahmat’ dan ‘keberkatan’.
Sebenarnya
budaya menyambut Hari Valentine ini dilihat semakin mendapat tempat dan popular
dalam masyarakat Melayu terutamanya golongan remaja dan muda-mudi yang sedang hangat
bercinta. Bagi mereka tarikh 14 Februari sentiasa diingati dan ditunggu-tunggu.
Namun, amat mendukacitakan apabila ingatan mereka terhadap tarikh Hari Valentine
ini mengatasi ingatan mereka terhadap tarikh-tarikh hari kebesaran dalam Islam
seperti tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w. dan tarikh berlakunya peristiwa
hijrah. Apabila ditanya tentang tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w., maka mereka
akan tercegang dan terpinga-pinga.
Bukan
sekadar itu saja, malah terdapat sebilangan media massa sama ada media elektronik
atau bercetak tidak terlepas juga dari membuat promosi secara besar-besaran
melalui iklan-iklan dan tayangan-tayangan filem yang ada kaitan dengan Hari Valentine
ini. Hal ini seolah-olah mendorong dan menggalakkan lagi sambutan Hari Valentine.
Sebagai
umat Islam, kita sepatutnya mengetahui bahawa beramal dan mengikut budaya yang
bertentangan dengan ajaran Islam itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan
keimanan kita. Dalam hal ini, kita seharusnya sentiasa bersikap waspada dengan sambutan-sambutan
kumpulan agama yang asalnya mempunyai kaitan dengan ibadat atau amalan keagamaan,
kemudian ditukar menjadi amalan budaya dan adat. Amalan ini kemudiannya
disambut oleh berbagai bangsa, termasuk sebilangan umat Islam atas nama budaya
dan adat.
Mengikut
sejarah, terdapat beberapa kisah yang berkaitan dengan asal usul sambutan Hari Velentine
ini. Antaranya ialah:
Pertama,
sebelum abad ke-17 masehi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine pada 14
Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka.
Dalam sambutan itu, mereka mengorbankan anjing dan kambing betina, kemudian
darahnya dilumur pada tubuh dua orang pemuda. Tubuh yang berlumuran darah itu
dibasuh pula dengan susu sebelum diarak ke tengah-tengah Kota Rom. Ketika
perarakan berlangsung, pemuda tersebut memegang kulit anjing dan kambing betina
yang masih berdarah dan mempalitkan darah tersebut kepada sesiapa saja yang
mereka jumpai. Gadis-gadis Rom amat gembira jika mereka dipalit darah oleh
pemuda tersebut, kerana mereka percaya darah tersebut dapat menghalang mereka daripada
menjadi mandul.
Kedua,
mengikut sejarah, Valentine adalah seorang paderi yang paling berpengaruh pada
zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di
tempat kedua selepas Paderi besar Pope. Ada beberapa kisah yang mengaitkan
paderi Velentine ini dengan sambutan Hari Valentine.
Kisah
pertama ialah paderi tersebut adalah orang terpenting yang ditugaskan untuk menjatuhkan
Kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Jasanya itu merupakan sesuatu yang tidak
boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan itu, tarikh 14 Februari telah
diputuskan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan pada setiap tahun. Hal
ini juga sebagai cara untuk mengenang jasa paderi Velentine itu.
Menurut
kisah kedua pula, paderi Velentine itu sebelum kejayaannya menumpaskan kerajaan
Islam Sepanyol, dikatakan memiliki dua orang kekasih. Kekasih pertamanya
beragama Islam, manakala yang kedua pula beragama Kristian berfahaman
Protestan. Oleh kerana berlainan agama, St. Velentino terpaksa melupakan
kekasih pertamanya dan menumpukan perhatian kepada kekasih kedua. Apabila
beliau ditanya tentang bentuk ganjaran yang beliau inginkan berikutan
kejayaannya menumpaskan umat Islam, paderi Velentine terus menyatakan hasratnya
untuk mengahwini kekasih keduanya itu. Hasrat paderi Valentine ini mencetuskan
kontroversi di kalangan rakyat Cordova kerana Velentine adalah paderi Katolik
yang sememangnya tidak boleh berkahwin.
Hal
ini telah mencetuskan kemarahan Ratu Isabella, lantas beliau memerintahkan
supaya paderi Velentine dihukum penjara. Walau bagaimanapun, Ratu Isabella
tetap mahu mengingati jasa paderinya itu dengan menetapkan tarikh 14 Februari
sebagai ‘Hari Mengingati Kekasih’ yang ditujukan khas untuk memperingati paderi
Velentine.
Kisah
seterusnya menyatakan bahawa pada tarikh 14 Februai 270M, paderi Velentine
dibunuh kerana penentangannya terhadap pemerintah Rom pada ketika itu iaitu Raja
Claudius II (268-270M). Rentetan daripada itu, paderi Valentine dianggap
sebagai simbol ketabahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup, lalu
untuk mengagungkannya pengikut-pengikutnya telah menjadikan tarikh memperingati
kematian paderi Valentine sebagai ‘upacara keagamaan’.
Berdasarkan
tinjauan sejarah dan asal usul sambutan Hari Valentine ini, jelas terdapat berbagai
versi kisah dan cerita di sebalik sambutannya. Namun semuanya jelas menunjukkan
sambutan Hari Valentine bukan dari budaya Islam. Ia lebih kepada amalan memuja
tuhan dan patung-patung serta mendewa-dewakan paderi saja.
Amat
mendukacitakan apabila masih terdapat sebilangan umat Islam yang menganggap Hari
Valentine merupakan hari yang paling istimewa dalam hidup. Mereka bertindak
menyambut Hari Valentine secara melulu dan membuta tuli tanpa mengkaji sejarah
di sebalik sambutan itu.
Berhubung
perkara ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang
melakukan perbuatan yang menyamai (menyerupai) sesuatu kaum itu, maka ia turut
termasuk bersama golongan tersebut.” (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)
Sebenarnya,
penyamaan dalam hadis di atas merujuk kepada asal usul fahaman, perbuatan dan
pegangan. Jika ada sebarang perkataan, perbuatan dan pegangan umat Islam menyerupai
doktrin, amalan dan budaya kaum Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya,
ia dikira tergolong dalam golongan mereka. Jadi, penyamaan dalam bentuk
kepercayaan disusuli dengan perbuatan secara langsung adalah haram yang
ditetapkan secara ijmak.
Hadis
itu juga secara tidak langsung menggambarkan bahawa umat Islam perlu kekal
dengan identiti dan jati diri mereka sebagai seorang Muslim. Mereka dilarang
menyerupai golongan musyrikin disebabkan akidah Islam terangkum dalam tiga
dimensi iaitu perkataan, perbuatan dan pegangan.
Dalam
hal ini, kita sewajarnya menjadi insan yang bijak menilai sesuatu perkara.
Berfikir sebelum bertindak dan menjauhkan perkara keji serta maksiat memang
menjadi tuntutan rohani. Oleh itu, gunakan kebijaksanaan akal yang
dianugerahkan oleh Allah untuk bertindak menjauhkan diri daripada perkara keji
yang dibenci oleh Allah. Sepatutnya, biarlah orang bukan Islam itu dengan
amalan agama mereka dan janganlah sesekali kita cuba percaya dan mengamalkannya.
Allah
berfirman yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang
kafir, aku tidak akan menyembah sesuatu yang kamu sembah. Dan kamu (pula) bukan
penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah sesuatu
yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang ku
sembah. Untukmu agamamu, dan untukku, agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat
1-6)
Kesimpulannya,
sebagai umat Islam kita wajib menghindari daripada mengamalkan budaya menyambut
Hari Valentine ini. Ini kerana ia jelas bertentangan dengan tasawur Islam serta
boleh menjejaskan akidah dan keimanan kita. Ingatlah, kesucian Islam akan dapat
dipertahankan selagi umat Islam berpegang kuat dengan akidah Islam.