SEKITAR MAJLIS MALAM GRADUASI MISDEV11

Pada hari Jumaat (12 April 2013) yang lalu, ISDEV menganjurkan Majlis Malam Graduasi MISDEV11 bertempat di Dewan Utama Pelajar, Kompleks Tekun, Universiti Sains Malaysia (USM). Kali ini, Majlis dikendalikan oleh Ahli Bersekutu ISDEV (ABI) yang dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Syakir Mohd Rosdi dengan kerjasama pelajar MISDEV12 yang diketuai oleh Saudara Mohd Syahmir Alias.

Majlis yang diadakan setiap tahun sempena Majlis Konvokesyen USM ini paling mempunyai tiga tujuan utama. Pertama, untuk meraikan dua pelajar Ijazah Doktor Falsafah iaitu Dr. Heri Kusmanto dari Universitas Medan Area (UMA), Medan, Indonesia dan Dr. Marlina Ekawaty, Universitas Malang, Indonesia); kedua, untuk meraikan seramai 18 pelajar Mod Campuran (MISDEV11); dan ketiga, untuk meraikan ibu bapa dan kaum keluarga pelajar yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

Seperti biasa, Majlis ini dimulakan dengan Solat Maghrib secara berjemaah dan kemudiannya disusuli dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Shahir Akram Hassan. Antara inti pati tazkirah ini ialah, para pelajar diingatkan supaya terus berusaha mengamalkan ilmu yang dipelajari; menjaga akhlak dan imej Islam (jangan biar orang hina Islam kerana keburukan akhlak kita); ijazah yang diperoleh hanya sebagai alat perjuangan; terus menjalinkan hubungan baik dengan para guru; dan meletakkan Iman (akidah) sebagai tunjang kehidupan.

Selepas Solat Isyak secara berjemaah, Profesor Muhammad Syukri Salleh, Pengarah ISDEV menyampaikan ucapan perasmian Majlis Malam Graduasi ini. Dalam ucapan ini, Profesor Muhammad Syukri Salleh menasihatkan para pelajar terus menimba ilmu dan terus berjuang untuk menyebarkan Islam tidak kira di mana sahaja. Menurut beliau lagi, ijazah yang diperoleh ini hanya sebagai alat untuk terus berjuang.

Selain itu, Majlis ini dimeriahkan dengan beberapa aktiviti lain seperti persembahan nasyid oleh Kumpulan Sawtul ISDEV; tayangan kenang-kenangan semua aktiviti yang melibatkan semua pelajar yang akan berijazah; jamuan makan malam; penyampaian anugerah pelajar cemerlang; dan penyampaian cenderahati pelajar kepada penyelia masing-masing. Majlis ini diakhiri dengan ramah mesra antara para pensyarah dengan ibu bapa dan kaum keluarga pelajar.



Popular posts from this blog

GOLONGAN ANTI HADITH SELEWENGKAN TAFSIRAN AL-QUR'AN

ANAK ‘ISTIMEWA’ ANUGERAH ALLAH UNTUK IBU BAPA ISTIMEWA