PENDEKATAN ISLAMISASI PEMBANGUNAN VS PENDEKATAN PEMBUNGKIHAN AKAR UMBI
Hotel Madani, Medan, Tempat Berlangsungnya ICID-5 |
Dalam International Conference on Islamic Development ke-VI (ICID-5) anjuran Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) Medan, dengan kerjasama Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, pada 23 April 2013, di Hotel Madani, Medan, Sumatera Utara, Indonesia baru-baru ini, saya diizin Allah SWT untuk membentangkan kertas kerja yang bertajuk Islamisasi Pembangunan di Malaysia: Kes Pendekatan Islam Hadhari.
Sebenarnya, kertas kerja ini bertujuan meneliti dan mengkaji proses
Islamisasi pembangunan di Malaysia dengan memfokuskan pendekatan Islam Hadhari.
Islam
Hadhari di sini merupakan satu pendekatan untuk membangunkan tamadun dan
peradaban umat yang berteraskan syariat dan landasan Islam. Ia diperkenalkan oleh Abdullah Ahmad Badawi (Tun) semasa beliau
menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia kelima. Persoalannya, apakah yang
dimaksudkan dengan Islamisasi pembangunan? Kenapakah pendekatan Islam Hadhari
itu dikatakan sebagai salah satu daripada proses Islamisasi pembangunan?
Kenapakah Malaysia tidak melaksanakan pembangunan yang melibatkan proses
pembungkihan akar umbi sistem dan meruntuh struktur sedia ada? dan apakah
faktor-faktor yang menyebabkan pendekatan Islam Hadhari tidak dapat diteruskan?
Semua persoalan ini cuba dijawab dengan memfokuskan
perbincangan kepada empat perkara utama. Pertama, membincangkan maksud
Islamisasi pembangunan dan proses Islamisasi pembangunan di Malaysia. Kedua,
membincangkan sebab-sebab yang mendorong Malaysia memilih proses Islamisasi
pembangunan berbanding proses pembungkihan akar umbi sistem dan meruntuhkan
struktur. Ketiga, membincangkan unsur-unsur yang membuktikan pendekatan Islam
Hadhari itu sebagai salah satu daripada proses Islamisasi pembangunan. Keempat,
membincangkan faktor-faktor yang menyebabkan pendekatan Islam Hadhari itu tidak
dapat diteruskan.
Akhirnya, kertas kerja ini merumuskan Islam
Hadhari sebagai salah satu daripada proses Islamisasi pembangunan. Hal ini
kerana ia terbentuk daripada acuan yang bercampur aduk antara epistemologi dan
tasawur Islam dengan epistemologi dan tasawur lazim.