PERKONGSIAN ILMU AL-QUR'AN DALAM WORKSHOP ANTARABANGSA PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM KE-6 (WAPI-6)

Para Pembentang dari ISDEV-USM

Dalam Workshop Antarabangsa Pembangunan Berteraskan Islam (WAPI-6) anjuran Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) Medan, dengan kerjasama Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, pada 22 April 2013, di Kampus Kedokteran UMSU, Medan, Sumatera Utara, Indonesia baru-baru ini, saya diizin Allah SWT untuk membentangkan kertas kerja yang bertajuk pola tasawur pembangunan dalam al-Qur'an.

Sebenarnya, kertas kerja ini bertujuan mengenal pasti dan menganalisis ayat-ayat al-Qur’an berkaitan tasawur pembangunan. Tasawur pembangunan yang dimaksudkan di sini ialah gambaran komprehensif dan hakiki mengenai pembangunan berteraskan Islam (PBI). Ia bertujuan menjelaskan ciri-ciri konsepnya secara benar dan menyeluruh sehingga menjadi asas kepada segala aktiviti pembangunan dalam kehidupan manusia. Dalam al-Qur’an, ayat-ayat berkaitan tasawur pembangunan berada secara terpisah-pisah dalam pelbagai surah. Persoalannya, apakah ayat-ayat al-Qur’an yang membincang tentang tasawur pembangunan? Bagaimanakah pola tasawur pembangunan yang dibina berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an yang dikenalpasti itu? Bagi menjawab kedua-dua persoalan ini, perbincangan dalam kertas kerja dibahagikan kepada tiga bahagian utama. Pertama, mengenal pasti ayat-ayat al-Qur’an terpilih berkaitan tasawur pembangunan; kedua, menganalisis ayat-ayat tasawur pembangunan yang dikenal pasti itu secara tafsir tematik; dan ketiga, membina pola tasawur pembangunan berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an yang dikenal pasti itu. 

Akhirnya penelitian kualitatif ini merumuskan pola tasawur pembangunan dalam al-Qur’an itu terdiri daripada enam elemen. Pertama, berpaksikan tauhid; kedua, berkaedahkan pengabdian diri/beribadah kepada Allah SWT; ketiga, manusia hamba dan khalifah sebagai pelaku pembangunan; keempat, sumber alam sebagai alat atau wasilah pembangunan; kelima, keseimbangan antara dunia dan akhirat; dan keenam, bermatlamat mencapai keredhaan Allah SWT. Pola tasawur pembangunan yang dibina berdasarkan al-Qur’an ini mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Popular posts from this blog

GOLONGAN ANTI HADITH SELEWENGKAN TAFSIRAN AL-QUR'AN

ANAK ‘ISTIMEWA’ ANUGERAH ALLAH UNTUK IBU BAPA ISTIMEWA