MISI ANKARA, TURKI TAMAT
Gambar bersama Prof. Halil Rahman Acar (dua dari kiri) |
InsyaAllah pagi esok (8 Mei 2013) saya akan berlepas pulang ke tanahair tercinta. Pada hari terakhir saya di Turki (7 Mei 2013), iaitu pada sebelah pagi saya mengambil peluang bertemu dan berbual-bual dengan Prof. Halil Rahman Acar (seorang yang 'workaholic') tentang perjalanan Simposium yang dianjurkan itu. Menurut beliau, untuk menghimpun para pembentang dari seluruh dunia bukanlah satu kerja yang mudah. Perancangan tentangnya telah dibuat sekian lama iaitu lebih kurang setahun yang lalu. Menurut beliau lagi, paling tidak terdapat tiga sebab timbulnya idea untuk mengadakan Simposium yang bertemakan "Qur'anic Worldview". Pertama, pihak Research Institute for Philosophical Foundation of Disciplines mahu tasawur yang dikatakan tasawur Islam itu dibina berasaskan sumber yang paling utama iaitu al-Qur'an. Tidak wajar tasawur itu dikatakan tasawur Islam jika ia hanya berasaskan akal dan logik semata-mata; kedua, persoalan "Quranic Worldview" merupakan satu perkara baru dan setakat ini belum ditemui mana-mana simposium atau konference yang membincang tentangnya; dan ketiga, mahu mendedahkan kepada masyarakat Islam di Turki tentang tasawur al-Qur'an ini. Semoga ia akan dijadikan sebagai acuan yang mencorakkan kehidupan mereka.
Dalam perbualan dengan Prof. Halil Rahman Acar, beliau menyatakan pihak Research Institute for Philosophical Foundation of Disciplines akan menerbitkan buku hasil daripada kertas kerja yang dibentangkan dalam sesi perbincangan panel sebelum ini. Terdapat tiga kertas kerja dalam sesi pembentangan panel iaitu kertas kerja Prof. Alparslan Acikgenci, Pengarah Technical University of Istanbul; Prof. Yasin Allie Muhammed dari University of the Western, Cape Town, South Africa; dan saya sendiri. Semasa perbincangan tadi, Prof. Yasin Allie mencadangkan supaya pihak Research Institute for Philosophical Foundation of Disciplines meminta Prof. Ziauddin Sardar menulis sebuah kertas kerja. Jadi buku "Qur'anic Worldview" akan memuatkan empat kertas kerja jika Prof. Ziauddin Sardar bersetuju untuk menulis.
Pada sebelah petang pula, saya dan beberapa orang pembentang dari Mesir, Iran dan Nigeria dibawa melawat Research Institute for Philosophical Foundation of Disciplines. Ketika di sana, Prof. Halil Rahman Acar menerangkan sedikit sebanyak latar belakang Research Institute for Philosophical Foundation of Disciplines. Meskipun ia masih baru iaitu ditubuhkan pada tahun 2004, namun ia mempunyai cita-cita dan hasrat untuk menjadi pusat berkumpulnya cendekiawan Islam dari seluruh pelusuk dunia. Walau bagaimanapun, saya dapati setakat ini pihak Research Institute for Philosophical Foundation of Disciplines masih membawa cendekiawan Islam dan Barat untuk membincangkan tentang al-Qur'an seperti Prof. Andrew Rippin, Prof. Oliver Leaman, Prof. Werner G. Jeanrond dan Dr. Anne Sylvie Boisliveau. Setakat tinjauan saya, rama pembentang Muslim yang 'tidak senang' dengan pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh mereka ini. Bukan setakat itu, malah ada juga tokoh yang mengeluarkan kenyataan yang merugikan umat Islam seperti mengatakan "Al-Qur'an diturunkan dalam bahasa Arab kerana Nabi Muhammad SAW berketurunan Arab". Kenyataan sebegini tidak sepatutnya terbit dari mulut seorang Muslim.
Gambar Semasa di Research Institute for Philosophical Foundation of Disciplines |
Harapan saya, InsyaAllah semoga suatu hari nanti pihak Research Institute for Philosophical Foundation of Disciplines dapat menjemput para pembentang Muslim sahaja untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan al-Qur'an ini.