JANGAN BERCAKAP TENTANG HUDUD JIKA TIADA ILMU
Berita Harian, Ahad, 2 September 2012, hlm.29. Artikel ini berasal daripada artikel saya yang bertajuk "Jangan Bercakap Tentang Hudud Jika Tiada Ilmu" yang disiarkan dalam blog ini baru-baru ini. |
Jika isu hudud ini dibincangkan oleh
golongan ilmuwan Islam yang benar-benar mempunyai ilmu tentangnya, ia tidaklah
membimbangkan. Apa yang membimbangkan sekarang ini adalah apabila isu hudud ini
dibincangkan oleh golongan yang kurang ilmu tentangnya. Lebih membimbangkan
lagi apabila ia cuba dibincangkan oleh golongan Islam yang tidak berilmu dan
golongan bukan Islam.
Apabila isu hudud ini dibincangkan dan
dihujahkan tanpa berdasarkan ilmu yang mendalam ia boleh mendatangkan fitnah
terhadap Islam. Kesannya, Islam akan dianggap sebagai agama yang zalim dan
tidak berperikemanusiaan. Lebih parah lagi jika isu hudud ini dibincangkan atas
dasar kepentingan politik.
Ingin dijelaskan bahawa hudud merupakan salah satu komponen dalam Undang-undang Jenayah Syariah selain daripada qisas dan takzir. Undang-undang Jenayah Syariah itu pula merupakan salah satu daripada empat cabang ilmu fiqh, selain ilmu ibadah, muamalat dan munakahat. Dalam pada itu, ilmu fiqh pula adalah salah satu daripada tiga cabang ilmu fardu ain, selain ilmu tauhid dan ilmu akhlak.
Dilihat dari perspektif hirakikal ini,
ilmu Undang-undang Jenayah Syariah terletak diranting ilmu fardu ain yang wajib
dipelajari dan diamalkan. Justeru, tidak ada sesiapa pun yang berhak bercakap
mengenainya kecuali benar-benar berilmu dan tidak mempunyai niat selain untuk
kebaikan agama.
Meskipun memberi pandangan atau
bercakap itu adalah satu kebebasan individu, namun bercakap tentang sesuatu
perkara yang kita tidak mempunyai ilmu tentangnya, lebih-lebih lagi yang
melibatkan hukum yang disyariatkan oleh Allah SWT, tidaklah termasuk dalam skop
kebebasan sebenar.
Tidak mungkin dan mustahil seseorang
manusia itu dapat mengetahui semua perkara sehingga dia boleh bercakap tentang segala-galanya.
Lagi pun al-Qur’an telah jelaskan bahawa Allah SWT mengurniakan sedikit sahaja
daripada ilmunya kepada manusia (Surah al-Israk ayat 85). Bagi meningkatkan lagi
ilmu, al-Qur’an mengajar kita supaya belajar dengan cara menjadikan orang yang
berilmu sebagai rujukan (Surah al-Nahl ayat 43). Jelaslah bahawa walau sebijak
mana pun seseorang itu, dia tetap tidak mengetahui semua perkara.
Justeru, adalah bahaya jika seseorang
itu bercakap mengenai hudud sedangkan dia tidak mempunyai ilmu yang bersabit
dengannya atau cuma mempunyai sedikit ilmu sahaja tentangnya. Dalam hal ini,
jika dia bercakap juga tentang hudud dibimbangi apa yang dicakapkan itu tidak
betul dan membawa kepada dosa.
Menjadi tanggungjawab setiap umat
Islam untuk memperlihatkan Undang-undang Jenayah Syariah yang indah dan adil itu.
Bukan setakat itu, malah dalam apa jua perkara pun umat Islam hendaklah
berusaha membuatkan Islam dipandang suci, mulia, baik dan indah.
Atas dasar untuk menjaga kesucian dan
kemuliaan Islam itulah, maka sebaik-baiknya elakkan daripada bercakap soal hudud
demi kepentingan politik. Perbincangan tentang hudud sama sekali tidak boleh
dijadilah wasilah untuk meraih atau memancing undi. Kalaulah perlu bercakap
juga mengenai hudud ini dalam polemik politik sekarang, bercakaplah dengan ilmu
dan kebenaran bagi tujuan berdakwah.
Janganlah bercakap tentang hudud yang
telah dipolitikkan, kerana ia dibimbangi wujud unsur-unsur untuk memburukkan
hudud. Apabila hudud itu digambarkan dengan gambaran yang salah, maka masyarakat
menjadi takut dengan hukum hudud. Jika hal ini berterusan, Undang-undang
Jenayah Syariah itu terus ditakuti dan dipandang negatif.
Di pihak masyarakat pula, terutamanya
masyarakat Islam, mereka juga perlu mempelajari dan memahami tentang
Undang-undang Jenayah Syariah itu melalui ilmuwan Islam yang muktabar, merujuk
kepada pelbagai kitab rujukan yang autoritatif atau dengan cara menghadiri
persidangan, seminar dan bengkel akademik serta wacana ilmiah yang dianjurkan.
Untuk masyarakat bukan Islam, perlu juga ada pihak yang tampil bertemu mereka bagi
tujuan menjelaskan tentang Undang-undang Jenayah Syariah ini.
Apabila masyarakat mempunyai ilmu yang
secukupnya tentang hudud, mereka tidak akan takut lagi dengan hudud yang benar.
Malah mereka mampu menilai sama ada hudud yang sampai kepada mereka itu hudud
Islam yang benar atau sebaliknya.
Untuk mendapatkan redha Allah SWT yang
membawa seseorang itu kepada al-falah
(kejayaan) di dunia dan di akhirat, setiap umat Islam wajib mempelajari,
memahami, mengamal serta bercakap benar mengenai Islam dan hukum Islam. Elakkan
daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang fitnah terhadap Islam dan
hukum Islam.