KAEDAH P&P ISDEV: KAEDAH ‘MERENTAS SEMPADAN’

Dimaksudkan dengan kaedah P&P ‘merentas sempadan’ ini ialah kaedah pendidikan PBI di ISDEV yang tidak terhad sekadar memberi syarahan di dalam bilik-bilik kuliah sahaja. Di ISDEV kaedah P&P yang berbentuk ‘merentas sempadan’ ini sering digunakan. Selain menggunakan kaedah syarahan di dalam bilik-bilik kuliah, para pengajar di ISDEV menggunakan juga kaedah-kaedah lain yang di luar sempadan kuliah dalam penyampaian ilmu. Antaranya termasuklah al-kitabah (penulisan), al-mu‘tamar (seminar dan bengkel), ijtima‘iyyah al-syahriyyah (penyeliaan bulanan secara berkumpulan), al-suhbah (bersahabat), al-rihlah (bersiar-siar), ekspedisi akademik al-tafakkur dan al-tadabbur alam, al-hiwar (dialog), al-munaqasyah (perbincangan), al-nasihah (nasihat) dan sebagainya. 

Di ISDEV para pelajar dididik supaya menulis (al-kitabah) dan membentangkan kertas kerja di seminar-seminar dan di bengkel-bengkel (al-mu‘tamar) sama ada di dalam dan di luar negara. Setakat ini setiap pelajar wajib menulis dan membentang kertas kerja masing-masing di dua bengkel iaitu ISDEV International Graduate Workshop (INGRAW) dan Workshop Antarabangsa Pembangunan Berteraskan Islam (WAPI). Dalam kedua-dua bengkel ini para pelajar dilatih membentang kertas kerja dan memberi respon terhadap soalan-soalan yang dikemukakan oleh para peserta. Selain itu, ISDEV mengadakan penyeliaan bulanan secara berkumpulan (ijtima‘iyyah al-syahriyyah) tanpa mengira bidang kajian pelajar. Melalui kaedah ini para pelajar berpeluang mempelajari ilmu-ilmu berkaitan penulisan tesis serta merapatkan ukhuwwah sesama mereka. 

Lebih santai lagi, ISDEV juga menggunakan kaedah al-rihlah. Kebiasaannya para pelajar yang berkaitan (dalam jumlah lebih kurang tiga atau empat orang) dibawa bersiar-siar ke sesuatu tempat yang tidak jauh dari USM. Sepanjang perjalanan para pelajar diminta menerangkan perkembangan penulisan masing-masing. Jika ada masalah, ia sama-sama diselesaikan. Di akhir kaedah ini, guru akan memberi nasihat (al-nasihah) dan membuat rumusan secara umum. 

Hampir sama dengan kaedah bersiar-siar ini ialah kaedah ekspedisi akademik al-tafakkur dan al-tadabbur alam. Kalau kaedah bersiar-siar hanya melibatkan kaedah jumlah pelajar yang kecil, maka kaedah ekspedisi akademik ini pula melibat jumlah pelajar yang besar iaitu dalam lingkungan 45-80 orang. Setiap tahun ISDEV akan mengadakan ekspedisi akademik ini. Misalnya ekspedisi akademik ke Medan (Indonesia), Acheh (Indonesia), Nakhon Si Thammarat (Thailand) dan Ban Nua (Thailand). Dalam ekspedisi sebegini para pelajar dilatih berdialog (al-hiwar) dan berbincang secara akademik (munaqasyah al-‘ilmiyyah) dengan pihak-pihak tempat yang dilawati; berdialog dan berbincang sesama rakan kumpulan ekspedisi, cuba memahami dan mengenali rakan sendiri dengan lebih dekat, dan melatih agar wujud sikap kebersamaan dan tolong-menolong. Di samping itu, diadakan juga aktiviti-aktiviti sepanjang perjalanan seperti tazkirah, teka-teki, lawan berbalas pantun dan sebagainya. Tujuannya ialah untuk mencerdaskan dan menajamkan pemikiran para pelajar serta melatih jasmani (tarbiyyah al-jismiyyah) pengajar dan pelajar agar sentiasa kuat. 

*** Sedutan daripada kertas kerja yang dibentangkan di Konferensi Antarabangsa Islam Borneo Ke-V, anjuran bersama Pusat Penyelidikan & Pengembangan Islam Borneo, Universiti Teknologi MARA Sarawak dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Brunei Darussalam, pada 26 hingga 27 Jun 2012, di Dewan Persidangan Bridex Jerudong, Brunei Darussalam.

Popular posts from this blog

GOLONGAN ANTI HADITH SELEWENGKAN TAFSIRAN AL-QUR'AN

ANAK ‘ISTIMEWA’ ANUGERAH ALLAH UNTUK IBU BAPA ISTIMEWA