MEMANJAT TANGGA AKADEMIK MELALUI JALAN BELAKANG
Oleh: Lee Tze Yan
Penulis amat tertarik dengan kupasan artikel Mohd. Shukri
Hanapi, berjudul “Amalan Menumpang Nama” dalam Dewan Masyarakat keluaran
Oktober 2011. Penulis amat bersetuju dengan apa-apa yang cuba diketengahkan
oleh beliau menerusi artikelnya.
Pada pendapat penulis, implikasi amalan menumpang nama
sebenarnya sama teruknya dengan kegiatan memplagiat ataupun meniru. Hal ini
dikatakan demikian kerana kedua-duanya melibatkan unsur penipuan secara tidak
langsung. Plagiat jelas merupakan satu unsur penipuan kerana meniru dan
menyalin idea orang lain secara bulat-bulat tanpa memberikan sebarang petikan
atau pengiktirafan kepada penulis asal. Menumpang nama juga tergolong dalam
penipuan kerana ahli akademik memperoleh sesuatu pengiktirafan meskipun mereka
langsung tidak terlibat sama sekali dalam apa-apa jua bentuk sumbangan dalam
sesuatu penyelidikan ataupun proses penerbitan jurnal.
Sekiranya dikaji secara mendalam, banyak faktor yang
menyumbang kepada berleluasanya amalan menumpang nama sejak belakangan ini.
Faktor perdana yang tidak boleh disanggah lagi, tidak lain tidak bukan kerana
mengejar kenaikan pangkat untuk “memanjat tangga akademik”. Disebabkan
keghairahan untuk mendapat markah yang tinggi dalam Petunjuk Prestasi Utama
(KPI), yang mula diperkenalkan dalam institusi pengajian tinggi kita, banyak
ahli akademik mencari jalan singkat untuk meninggikan markah KPI mereka. Markah
KPI yang tinggi merupakan salah satu syarat penting untuk kenaikan pangkat dan
salah satu kriteria untuk markah KPI ialah penghasilan bahan ilmiah dalam
bentuk jurnal mahupun manuskrip. Maka, ramai antara ahli akademik yang tidak
akan teragak-agak untuk mengambil langkah mudah demi memastikan nama mereka
muncul dalam apa-apa jua bentuk penerbitan ilmiah akademik dan timbullah amalan
menumpang nama yang kian berleluasa sejak akhir-akhir ini.
Langkah drastik perlu diambil oleh pihak yang berkenaan,
sekurang-kurangnya memantau amalan sedemikian dan sekali gus mengurangkan
insiden seperti ini supaya integriti ahli akademik dapat dipertahankan. Penerbitan
bahan ilmiah yang betul-betul berkualiti penting supaya aktiviti penyelidikan
kita berada pada landasan yang betul untuk duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi dengan negara maju yang lain, seperti Jepun, Korea Selatan dan juga
Amerika Syarikat khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.
Sumber: http://dwnmasyarakat.dbp.my/?p=2634
Maklum Balas
Terdapat
juga para akademik (tempatan & antarabangsa) menghantar penulisan mereka
untuk penerbitan Jurnal melalui atas talian (secara ‘open access’) yang mana
kebanyakkan hasil kerja mereka akan dinilai secara segera. Modus operadi
mereka, adalah dengan menghantar e-mail memohon untuk artikel yang dibentangkan
dimana-mana konferensi di hantar untuk dinilai dan seterusnya diterbitkan oleh
mereka. Lazimnya jika artikel dinilai secara profesional oleh pernerbit yang
sahih ianya akan mengambil masa dari 6 bulan sehingga 2 tahun, dengan melalui
kaedah ‘open access’ melalui penerbit palsu, ianya tidak sampai 6 bulan.
Selepas melalui proses penilaian antara penulis, penerbit dan editor mereka
dijemput untuk menerbitkan artikel tersebut dengan kadar USD50 sehelai. Pada
ahli akademik yang mengejar pangkat & kedudukan soal wang bukan halangan.
Nah! mereka sudah mempunyai artikel yang dimuatkan di journal antarabangsa
tanpa mengetahui ianya adalah penipuan alam siber. Disini, nafsu memainkan
peranan dan mereka yang bijak pandai tertipu dengan mainan syaitan. Amat malang
sekali kepada dunia akademik mempunyai mereka-mereka tidak ikhlas di dalam
mendidik anak bangsa. Maka, di sini perlu ada badan atau usaha memantau
kegiatan-kegiatan yang mungkin sudah meresapi di dalam ‘CV’ masing-masing sudah
sekian lama. Persoalannya…halalkan rezeki kita?
Rujukan:
http://thetrialwarrior.com/2010/09/12/good-grief-bait-switch-law-publishing-version/
http://www.improbable.com/2009/12/22/strangest-academic-journals/