[2] HUBUNGAN GURU-PELAJAR DALAM STRUKTUR ORGANISASI ISDEV
ISDEV |
Seperti
institusi-institusi lain, ISDEV juga mempunyai struktur organisasinya yang
tersendiri. Struktur organisasi ISDEV ini dinamakan Majlis Syura. Ia terdiri
daripada Pengarah, Timbalan Pengarah dan Ahli-Ahli Majlis Syura ISDEV. Semuanya
seramai enam orang. Mereka yang terlibat dalam Majlis Syura ISDEV ini adalah terdiri
dari kalangan para pensyarah ISDEV yang mempunyai bidang kepakaran yang
pelbagai. Di samping itu, ISDEV juga mempunyai tiga orang kakitangan sokongan
yang ditugaskan membantu kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan di ISDEV.
Meskipun ISDEV
mempunyai struktur organisasi yang sedemikian rupa, ia tidak bermakna wujud jurang
dalam perhubungan antara guru-guru dengan para pelajar di ISDEV. Sebaliknya, hubungan
guru-pelajar itu sangat ditekankan. Maksudnya, di ISDEV hubungan guru-pelajar
tidak hanya terhad sekadar penyampaian dan penerimaan ilmu di bilik-bilik
kuliah sahaja, malah guru-guru di ISDEV kadangkala boleh berperanan bagaikan
seorang ayah/ibu, adik-beradik, kaunselor dan kawan kepada para pelajarnya.
Misalnya, menjadi kelaziman selepas sesuatu kuliah, guru-pelajar makan
bersama-sama dan kemudian solat secara berjemaah. Selepas solat kadangkala guru
dan pelajar duduk dalam satu halaqah bagi membincangkan masalah yang pelajar
hadapi. Begitu juga hubungan ketika seseorang pelajar itu dibawa oleh guru-gurunya
bagi membentangkan kertas kerja di sesebuah seminar atau persidangan sama ada
di dalam atau di luar negara. Pelajar tersebut dilayan bagaikan seorang kawan
dan kadangkala dia diberi tempat menginap bersama-sama dengan guru-gurunya.
Dalam musafir sebegini, guru dan pelajar solat bersama-sama secara berjamaah. Selepas
solat terutamanya selepas Solat Subuh dan Maghrib akan diadakan tazkirah pendek.
Selesai tazkirah, guru dan pelajar berbincang pula tentang perkara yang
disampaikan dalam tazkirah tersebut. Hubungan guru-pelajar yang fleksibel ini
memudahkan ilmu itu disampaikan dengan berkesan.
Dari sudut yang
lain pula, kadangkala guru-guru di ISDEV menjadi pelajar
kepada pelajarnya. Misalnya dalam Kelas Pengajian Mingguan ISDEV yang diadakan
pada setiap hari Selasa. Begitu juga dalam proses penyeliaan tesis atau kajian,
guru dan pelajar saling
belajar dari satu sama lain. Maksudnya, ada perkara yang pelajar belajar dari
gurunya dan ada pula perkara yang guru belajar dari pelajarnya. Suasana ini
wujud apabila para pelajar di ISDEV dididik supaya tidak
menganggap guru perlu tahu semuanya berhubung sesuatu bidang kajian pelajar dan
guru pula tidak merasakan dia lebih tahu segala-galanya daripada pelajar.
Sebenarnya, hubungan
guru-pelajar yang diamalkan di ISDEV ini adalah berdasarkan hubungan antara
Rasulullah SAW dengan Malaikat Jibril yang datang menemui Baginda untuk
mengajar tentang Islam, iman dan ihsan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Diriwayatkan daripada ‘Umar r.a. katanya: Pada
suatu hari, ketika kami duduk mempelajari sesuatu daripada Rasulullah SAW,
tiba-tiba seorang lelaki masuk ke dalam majlis kami. Tiada seorang pun antara
kami yang mengenali lelaki tersebut kerana kami tidak pernah melihatnya sebelum
ini. Rupa parasnya sangat tampan. Pakaiannya serba putih dan sangat bersih.
Rambutnya sangat hitam dan terurus rapi. Dia menghampiri Rasulullah SAW lalu
duduk. Dirapatkan kedua-dua belah lututnya dengan lutut Rasulullah SAW. Kemudian
diletakkan pula kedua-dua belah tapak tangannya ke atas dua belah paha
Rasulullah SAW. Selepas itu dia berkata kepada Rasulullah SAW, “Wahai Muhammad,
khabarkanlah kepadaku tentang Islam.” Rasulullah SAW bersabda, “Islam ialah
pengakuan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan pengakuan bahawa Nabi Muhammad
itu pesuruh Allah, mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa pada bulan
Ramadan, dan mengerjakan haji di Baitullah jika berkuasa berbuat demikian.” Kemudian
lelaki itu berkata, “Engkau benar.” Mendengar itu kami semua berasa hairan. Kemudian
dia berkata lagi, “Nyatakan pula kepadaku tentang iman.” Lalu Baginda bersabda,
“Engkau beriman kepada Allah, kepada para malaikat-Nya, kepada kitab-kitab-Nya,
kepada para rasul-Nya, kepada wujudnya hari akhirat, dan beriman kepada takdir
yang baik mahupun yang buruk sebagai ketentuan Allah.” Kemudian lelaki itu
berkata, “Engkau benar.” Selepas itu dia berkata lagi, “Nyatakan kepadaku
tentang ihsan. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Engkau dikatakan melakukan ihsan
jika engkau beribadah kepada Allah dengan seikhlas-ikhlasnya seolah-olah engkau
melihat-Nya. Andai kata engkau tidak dapat melihat-Nya, Dia tetap melihatmu.” (Riwayat Muslim, Hadith No. 1, al-Nawawiy, 1996:131).
Ditinjau dari
perspektif pendidikan PBI, Hadith ini mempamerkan perhubungan antara guru
dengan pelajar. Cara duduk Malaikat Jibril yang rapat dengan Rasulullah SAW
sehingga bertemu kedua-dua lututnya dengan lutut Rasulullah SAW dan
diletakkannya pula kedua-dua belah tapak tangannya ke atas kedua-dua paha
Rasulullah SAW melambangkan betapa rapatnya hubungan guru-pelajar. Hubungan
guru-pelajar ini juga dapat dilihat melalui cara Rasulullah SAW menjawab setiap
pertanyaan yang dikemukakan oleh Malaikat Jibril. Meskipun Rasulullah SAW
meyakini bahawa Malaikat Jibril sudah tahu jawapannya, Baginda SAW tetap
menjawabnya dengan penuh tertib dan sopan.
Selain
itu, hubungan guru-pelajar di ISDEV ini juga adalah berdasarkan kisah Imam
al-Syafi‘i ketika beliau berguru dengan Imam Malik di Madinah. Imam Malik merupakan
seorang ulama tersohor yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat. Dengan
kehebatan ilmunya, beliau digeruni dan dihormati oleh penduduk Kota Madinah
termasuk gabenornya. Meskipun Imam Malik mempunyai kedudukan yang sedemikian
rupa, hubungan beliau dengan Imam al-Syafi‘i cukup akrab sekali. Sepanjang Imam
al-Syafi‘i berguru dengan Imam Malik, beliau dilayan dengan baik. Imam Malik
mengajak Imam al-Syafi‘i tinggal bersamanya. Makan dan minum dijaga dengan
sempurna. Setelah hampir 8 bulan Imam al-Syafi‘i menjadi pelajar kepada Imam
Malik, beliau berhasrat untuk berhijrah ke Kufah. Tujuannya ialah untuk berguru
dengan dengan Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin al-Hassan di sana. Setelah
meminta izin daripada Imam Malik, Imam al-Syafi‘i pun bersiap sedia untuk ke
Kufah. Oleh kerana Imam Malik sangat menyayangi Imam al-Syafi‘i, beliau menyewa
seekor unta sebagai kenderaan untuk ditunggangi oleh Imam al-Syafi‘i ke Kufah.
Imam Malik berlinangan air mata ketika Imam al-Syafi‘i meminta dihalalkan
segala ilmu dan makan minum yang diberikan kepadanya. Berat hati Imam Malik
untuk berpisah dengan pelajarnya yang cerdik, warak dan pandai mengambil
hatinya itu (Abdul Latip Talib, 2012:93-108).
Selepas
beberapa tahun mengembara menuntut ilmu di beberapa tempat, Imam al-Syafi‘i
pulang semula ke Madinah untuk menziarahi gurunya Imam Malik. Ketibaan Imam
al-Syafi‘i di Madinah disambut oleh Imam Malik dengan penuh kegembiraan. Beliau
meminta anak dan isterinya menyediakan makanan bagi meraikan Imam al-Syafi‘i.
Oleh kerana Imam Malik meyakini dan mengiktiraf ketinggian ilmu Imam al-Syafi‘i,
beliau meminta Imam al-Syafi‘i mengajar ilmu Hadith kepada orang ramai. Ketika
Imam al-Syafi‘i mengajar, Imam Malik duduk bersama-sama anak muridnya seperti
beliau juga sedang menuntut ilmu daripada Imam al-Syafi‘i (Abdul Latip Talib,
2012:132). Selain Imam al-Syafi‘i, Imam Malik juga sering menjemput
murid-muridnya yang lain datang ke rumah. Dengan pergaulan seumpama ini, secara
tidak langsung Imam Malik dapat menerapkan pelbagai perkara yang baik sebagai
panduan mereka (Ahmad Mohd. Salleh, 2004:165).
Kisah-kisah
ini jelas mempamerkan wujud organisasi dalam masyarakat di Kota Madinah.
Golongan ilmuan menduduki tempat tertinggi dalam masyarakat. Meskipun wujud
kedudukan yang sebegini, para ulama tidak terpisah dengan para pelajarnya.
Mereka saling sayang-menyayangi dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
Sebenarnya amalan seumpama inilah yang sedang diamal dan
diperjuangkan di ISDEV. Ia mempamerkan keindahan sebuah organisasi yang
berusaha mengorganisasikan sekitarnya dalam hubungan guru-pelajar dan bahan
pengajaran sehingga terjadinya proses belajar pada diri pelajar dan guru
sendiri.
*** Sedutan daripada kertas kerja yang dibentangkan di Konferensi Antarabangsa Islam Borneo
Ke-V, anjuran bersama Pusat Penyelidikan & Pengembangan Islam Borneo,
Universiti Teknologi MARA Sarawak dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri
Begawan (KUPU SB), Brunei Darussalam, pada 26 hingga 27 Jun 2012, di Dewan
Persidangan Bridex Jerudong, Brunei Darussalam.
Rujukan:
Abdul Latip
Talib (2012). Imam
Syafie Pejuang Kebenaran. Selangor:
PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Ahmad Mohd.
Salleh (2003). Pendidikan
Islam – Falsafah, Sejarah dan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran. Shah Alam, Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn.
Bhd.
Al-Nawawiy,
Muhy al-Din Abi Zakariyya Yahya bin Syarf. (1996). Sahih Muslim, Jld. 1. Kaherah, Mesir: Dar al-Salam.