[4] KAEDAH P&P ISDEV: PENYUCIAN JIWA (TAZKIYAH AL-NAFS)

ISDEV-USM
Bagi tercapainya kaedah P&P dari hati ke hati sebagaimana yang dibincangkan dalam post yang terdahulu, hati perlu disucikan terlebih dahulu. Imam al-Ghazali mengatakan hati yang bersih dapat meningkatkan martabat manusia alam kehidupan dunia dan akhirat. Dengan hati manusia dapat mengenal Allah SWT (Yatimah Sarmani & Mohd Tajudin Mingal, 2011:25). Oleh itu, pengajar dan pelajar di ISDEV seboleh mungkin dididik menjaga hati supaya ia tidak dikotori oleh sifat-sifat mazmumah.

Menurut Muhammad Syukri Salleh (2002:72), manusia dibentuk oleh empat komponen utama iaitu hati, roh, nafsu dan akal. Kesepaduan daripada keempat-empat komponen inilah yang dapat mengawal nafsu atau kemahuan manusia yang tidak terhad. Menurut beliau lagi, seseorang Muslim mesti mempertahankan hatinya sebagai raja dalam diri, agar nafsu jahat yang dikenali sebagai nafsu ‘ammarah tidak menguasai komponen-komponen lain dalam diri manusia. Manusia mesti berusaha menjalankan tarbiyyah (pendidikan) nafsu agar ia dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi iaitu peringkat lawwamah, kemudian meningkat kepada mulhamah dan seterusnya ke peringkat mutma’innah, radiyah, mardiyah sehingga menjadi insan yang kamil, yakni makam nafsu yang tertinggi sekali dan yang berupaya menghimpun antara lahir dan batin atau hakikat dengan syariat.

Bagi tujuan itu, pengajar dan pelajar di ISDEV sangat digalakkan supaya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis, melakukan solat-solat sunat seperti Solat Hajat dan Solat Dhuha, sentiasa beristighfar jika melakukan dosa, memperbanyakkan selawat, berzikir, mengamalkan doa-doa bi al-ma’thur, memulakan sesuatu majlis dengan membaca al-Asma’ al-Husna (nama-nama Allah SWT yang indah), menutup majlis dengan membaca tasbih kaffarah dan surah al-Asr, dan sebagainya.

Sebenarnya, hati yang bersih akan melahirkan sifat-sifat mahmudah seperti amanah (al-amanah), pemaaf (al-‘afw), benar (al-siddiq), menepati janji (al-wafa’), adil (al-‘adl), memelihara kesucian (al-‘iffah), malu (al-haya’), berani (al-syaja‘ah), kuat (al-quwwah), sabar (al-sabr), kasih sayang (al-mahabbah), murah hati (al-sakha’), tolong menolong (al-ta‘awun), persaudaraan (al-ikha’), menghormati tetamu (ihtiram al-diafah), merendah diri (al-tawadu‘), berbuat baik (al-ihsan), berbudi pekerti (al-muru’ah), memelihara kebersihan (al-nazafah), selalu cenderung kepada kebaikan (al-salihah), merasa cukup dengan apa yang ada (al-qana‘ah), tenang (al-sakinah), lemah-lembut (al-rifq), menepati masa, berkomunikasi dengan sopan dan sifat-sifat baik yang lain.

Rujukan:

Muhammad Syukri Salleh (2002). Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Yatimah Sarmani & Mohd Tajudin Mingal (2011). Teori Kaunseling Al-Ghazali. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.

Popular posts from this blog

GOLONGAN ANTI HADITH SELEWENGKAN TAFSIRAN AL-QUR'AN

ANAK ‘ISTIMEWA’ ANUGERAH ALLAH UNTUK IBU BAPA ISTIMEWA