[3] KAEDAH P&P ISDEV: MENYEPADUKAN AKAL DENGAN HATI DAN ILMU DENGAN AMAL
ISDEV, PPSK, USM |
Usaha pencarian dan penyampaian ilmu
dengan hanya menggunakan akal semata-mata adalah tidak memadai dan tidak
mungkin ia dapat disempurnakan. Akal dan pancaindera yang lain mempunyai
batas-batas kemampuannya. Oleh itu, bagi menyempurnakan pencarian dan penyampaian
ilmu PBI, dalil-dalil ‘aqli ini mesti
digabungkan dengan dalil-dalil naqli.
Dalil-dalil naqli pula tidak boleh
difahami melalui ilmu daruri,
sebaliknya ia mesti difahami dengan menggunakan ilmu nazari. Begitu pula dengan ilmu nazari,
ia tidak boleh difahami dengan akal, sebaliknya hanya boleh difahami dengan
hati (Muhammad Syukri Salleh, 2001:25 & 2003:26).
Oleh sebab itu, kaedah P&P PBI di
ISDEV ini tidak hanya tertumpu kepada penggunaan akal, tetapi juga penggunaan
hati (Muhammad Syukri Salleh, 2001:25 & 2003:26). Pandangan Muhammad Syukri
Salleh (2001 & 2003) ini dikukuhkan lagi oleh pandangan Yatimah Sarmani dan
Mohd Tajudin Mingal (2011:26). Menurut mereka, ilmu yang memberi manfaat kepada
manusia bukan sahaja diproses oleh akal, tetapi diproses juga oleh hati.
Apabila ilmu sampai ke hati, barulah ilmu itu dapat dizahirkan dalam bentuk
amalan dan tingkah laku.
Memahami sesuatu melalui pandangan
lahiriah seperti yang cuba difahami oleh Nabi Musa ketika berguru dengan Nabi
Khidir (al-Kahfi, 18:65-82) ternyata ada batas-batasnya, sepertilah juga
terbatasnya pemahaman melalui penulisan dan pembacaan. Kepandaian menulis dan
membaca mungkin merupakan salah satu keperluan memahami ilmu dengan akal,
tetapi ia tidaklah menjadi keperluan utama dalam memahami ilmu dengan hati.
Begitulah dengan Rasulullah SAW yang ummi
(tidak pandai menulis dan membaca) itu, Baginda bukan sahaja dapat menggarap
ilmu yang tertinggi, malah mampu pula mengajar dan mendidik para sahabat yang
tahu menulis dan membaca. Kekuatan ilmu Baginda terletak di hati, bukan di
akal. Seperti juga dengan Nabi Khidir, inti ilmu Baginda lebih tertumpu kepada
yang tersirat (hati), bukan kepada yang tersurat (akal/saintifik) (Muhammad
Syukri Salleh, 2001:26 & 2002:23).
Berhubung perkara ini, ada pepatah Arab yang mengatakan, al-‘ilm fi al-sudur, la fi al-sutur
(ilmu itu terletak di dada (hati), bukan terletak dalam kitab) (Fuad Syaifuddin
Nur, 2011:109). Selain itu, ada juga pepatah Arab yang mengatakan laysa bi ‘ilm ma hawa al-qimatr, ma al-‘ilm
illa ma hawahu al-sadr (ilmu bukan tersimpan di dalam gedung simpanan buku,
tetapi ilmu itu hanyalah yang tersimpan dalam dada) (‘Ali al-Hafiz, 2008).
Imam al-Ghazali pada zaman awal
keilmuannya pernah merasakan seolah-olah tidak akan ada lagilah ilmunya kalau
kitab-kitabnya dirompak. Dengan ini, beliau berusaha meletakkan ilmunya di dada
(hati) melalui hafalan, hingga kekuatan daya penggarapan hatinya melebihi
kekuatan akalnya. Ilmu yang digarap dengan hati mampu dilaksana dan diamalkan
kerana dorongan pelaksanaan dan amalan datangnya dari hati. Sedikit ilmu yang
diamalkan adalah jauh lebih baik dari banyak ilmu tanpa amal (Muhammad Syukri
Salleh, 1985:16 & 2001:26). Ilmu yang diamal akan membuahkan lagi pelbagai
ilmu melalui pelbagai cara, sedangkan ilmu tanpa amal bukan sahaja boleh
menyekat penggarapan ilmu dengan hati dan kemanfaatan ilmunya, tetapi juga
boleh menyebabkan seseorang itu dibenci oleh Allah SWT (al-Saff, 61:3).
Oleh yang demikian, proses P&P PBI di
ISDEV memerlukan penjagaan hati yang teliti agar tidak dicemari oleh segala
sifat mazmumah (terkeji) seperti ego,
ujub, takabbur, hasad, dengki, sum‘ah dan sebagainya. Semakin jauh proses
P&P itu berjalan, maka semakin tinggi pembentukan sifat-sifat mahmudah (terpuji) dalam kalangan
pengajar dan pelajarnya. Inilah natijah dan kesepaduan antara akal dengan hati.
Kalau tidak, ilmu hanya tersekat di akal tanpa menyerap masuk ke hati. Ia tidak
mampu melahirkan tindakan yang selaras dengan ilmu dan syariatnya (Muhammad
Syukri Salleh, 1985:17 & 2003:28).
Perkecaian baik dari segi personaliti
pengajar hinggalah kepada kaedah pengajarannya akan hanya mampu melahirkan para
pelajar yang gemar menggunakan jimnastik akal, manakala tatakelakuannya
terpisah daripada percakapannya. Kaedah penyaluran ilmu hanya melalui akal
kepada akal, atau dari akal kepada hati, atau dari hati kepada akal, padahal
Islam menganjurkan kaedah P&P dari hati kepada hati dan bukan lainnya
(Muhammad Syukri Salleh, 1985:17 & 2003:28). Berhubung pendekatan dari hati
ke hati ini, pepatah Arab ada mengatakan, “ma
kharaj min al-lisan la tazawwaj ila
al-azan, wa ma kharaj min al-qalb yasil ila al-qulub” (apa yang
lahir dari bibir akan sampai ke telinga, apa yang lahir dari hati akan sampai
ke hati) (Yatimah Sarmani & Mohd Tajudin Mingal, 2011:26-27). Maksudnya,
sesuatu yang keluar dari mulut hanya dapat menembusi telinga, tetapi sesuatu
yang keluar dari hati akan dapat menembus hati. Oleh itu, sesorang yang menggunakan
hati sebagai sebahagian dari kaedah P&P untuk menyampaikan ilmu kepada para
pelajarnya, hasilnya ilmu yang disampaikan itu akan masuk ke hati.
Kisah Nabi Khidir dengan Nabi Musa (al-Kahfi,
18:65-82) jelas mempamerkan gagalnya kaedah P&P melalui hati kepada akal.
Walau bagaimanapun, ini tidak bererti Nabi Musa tidak pernah menggunakan hati
(Muhammad Syukri Salleh, 2003:28). Manakala kisah kegagalan Abdul Wahab, anak
kepada Syeikh Abdul Kadir Jailani yang tidak mampu memberikan kuliah berkesan
kepada para pelajarnya, mempamerkan pula kegagalan kaedah P&P dari akal
kepada hati. Pada suatu ketika, Abdul Wahab yang banyak mengembara telah
meminta untuk mengajar dari kerusi ayahandanya, tetapi pengajaran beliau
ternyata tidak berkesan. Apabila ditanya sebabnya, Syeikh Abdul Kadir Jailani
menjawab begini:
“Kamu
megah dengan pengembaraanmu meskipun kamu tidak mengembara di langit. Apabila
ayahanda menaiki kerusi itu untuk memberi pidato, cahaya Allah telah memenuhi
hati ayahanda dan cahaya itu berkembang dan ayahanda berucap dalam keadaan yang
diselubungi oleh cahaya Allah itu.” (dipetik dari Muhammad Syukri Salleh, 2001:27
& 2003:29).
Ertinya, sifat mazmumah yang lahir dalam
bentuk ujub dan takabbur dalam hati Abdul Wahab itu telah menyekat nur-hikmah
dari Allah SWT dan melemahkan hatinya sehingga ilmunya tidak mampu menyalur ke
hati para pelajarnya. Akibatnya, pengajarannya hanya mampu disalurkan melalui
akal sahaja dan tidak memberi sebarang kesan positif ke atas diri para
pelajarnya (Muhammad Syukri Salleh, 2001:27 & 2003:29).
Kegagalan kaedah P&P dari akal
kepada akal pula jelas terpamer dengan wujudnya para pengajar dan pelajar
sekarang yang memisahkan kefasihan ilmu daripada tatakelakuan. Mereka tahu
pelbagai perkara, tetapi jarang sekali mengamal dan apatah lagi
memperjuangkannya. Tentulah aneh jika pelajar mengamalkan ilmu sedangkan
pengajarnya sendiri hanya meletakkan ilmu yang diajar di akalnya, hingga apa
yang diajar tidak terpamer dalam tingkah lakunya sendiri (Muhammad Syukri
Salleh, 2001:27-28 & 2002:25). Sifat begini sangat dibenci oleh Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
“Wahai
orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak
melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah jika kamu memperkatakan
sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (al-Saff, 61:3).
Oleh yang demikian, natijah dari
kesepaduan akal dengan hati dan ilmu dengan amal ialah kelahiran manusia yang
bertakwa, mengabdikan diri kepada Allah SWT dan menjadi kepercayaan Allah SWT
di atas muka bumi ini. Ilmu mendidik hati, kemudian hatilah yang mendidik akal.
Ilmu itu seumpama pembimbing dan amal itu seumpama pengikut. Pengikut tanpa
pembimbing boleh menyesatkan, manakala pembimbing tanpa pengikut adalah
sia-sia. Dengan kesepaduan akal dengan hati dan ilmu dengan amal juga, ilmu
akan menjadi makanan hati sebagaimana kata Fathul-Mansuli dan ilmu akan
menghidupkan hati sebagaimana nasihat Lukman kepada anak-anaknya (Muhammad
Syukri Salleh, 2001:28 & 2003:30)
Berdasarkan perbincangan sebelum ini
dapatlah disimpulkan bahawa kaedah P&P PBI di ISDEV menggunakan akal dan
lebih-lebih lagi hati sebagai alatnya. Dengan penggunaan akal dan hati ini,
pengajar dan pelajarnya mampu memahami kedua-dua ilmu daruri dan ilmu nazari,
mampu menggunakan kedua-dua dalil-dalil ‘aqli
dan dalil-dalil naqli, dan mampu
memahami hal-hal saintifik, natural, fizikal, metafizik, spiritual dan
supernatural. Intipati ilmunya ialah ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah.
Ilmu fardu ain ialah tunjangnya, manakala ilmu fardu kifayah ialah ilmu
pengkhususan dan ilmu kemahirannya. Kedua-duanya mesti diajar dan dipelajari
oleh pengajar dan pelajar PBI. Natijahnya ialah kelahiran pengajar dan pelajar
yang beramal dengan ilmunya, di samping mampu melahirkan suasana harmoni dan
berkasih sayang sesama manusia serta membangunkan tamadun manusia yang harmoni
dan sejahtera (Muhammad Syukri Salleh, 2001:28 & 2003:34).
***
Sedutan daripada kertas kerja yang dibentangkan di Konferensi Antarabangsa
Islam Borneo Ke-V, anjuran bersama Pusat Penyelidikan & Pengembangan
Islam Borneo, Universiti Teknologi MARA Sarawak dengan Kolej Universiti
Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Brunei Darussalam, pada 26 hingga 27
Jun 2012, di Dewan Persidangan Bridex Jerudong, Brunei Darussalam.
Rujukan
‘Ali
al-Hafiz (2008). Mathal al-‘Ilm fi al-Sutur la fi al-Sudur. Diakses pada
20 April 2012 daripada http:// www.iraqpf.com/showthread.php?t=46958.
Fuad Syaifuddin Nur (2011). Mahfuzhat Bunga Rampai Peribahasa Arab.
Jakarta: PT Rene Asia Publika.
Muhammad Syukri Salleh (1985). Falsafah
Ilmu Pembangunan Berteraskan Islam: Beberapa Asas Kesepaduan. Pulau Pinang:
Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia.
Muhammad Syukri Salleh (2001).
“Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam”, PEMIKIR, No. 26,
Oktober-Disember, hlm. 1-47.
Muhammad Syukri Salleh (2002). Pembangunan
Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors
Sdn. Bhd.
Muhammad Syukri Salleh (2003). Pengurusan
Pembangunan Berteraskan Islam: Konsep dan Perkaedahan (Siri Syarahan Umum
Perlantikan Profesor). Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Yatimah
Sarmani & Mohd Tajudin Mingal (2011). Teori Kaunseling Al-Ghazali. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.